Penduduk Gaza bertakbir rai kemenangan

- Advertisement -

WISEL dibunyikan sebagai tanda tentera zionis Israel kalah ekoran tentangan sengit Briged Qasssam dan Jihad Islami. Akhirnya zionis Israel mengumumkan gencatan senjata.

Berikutan itu penduduk di Gaza meraikan gencatan senjata yang bermula jam 2 pagi waktu Gaza (7 pagi Malaysia). Biarpun kedinginan awal pagi namun mereka keluar meraikan kemenangan itu dengan bertakbir beramai-ramai.

Laungan takbir raya jelas kedengaran di corong-corong masjid memecah kesunyian awal pagi. Pemuda antara golongan paling gembira dengan kemenangan tersebut.

- Advertisement -

Pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia Nadir al Nuri berkata, ketika itu masih berlegar dron tentera zionis Israel di ruang udara Semenanjung Gaza sebagai memantau perkembangan selepas gencatan senjata diumumkan.

Bagaimanapun katanya penduduk di Gaza tidak menghiraukan kehadiran dron tentera zionis selepas gencatan senjata diumumkan.

“Kesabaran selama 11 hari rakyat Gaza akhirnya membuahkan kejayaan selepas berdepan dengan tembakan peluru, mortar dan bom yang menyebabkan kematian lebih 200 penduduk.

“Penduduk Gaza sanggup berkorban untuk mempertahankan Masjid al Aqsa dan bumi Palestin. Mereka berperang untuk maruah umat Islam di seluruh dunia,” katanya pada lintas langsung dari Gaza awal pagi tadi.

Menurutnya juga tentangan sengit pejuang al Qassam dan Mujahidin di Gaza menyebabkan zionis Israel terpaksa mengaku kalah dan akur untuk gencatan senjata.

Kata beliau pejuang terbabit selama 11 hari bersembunyi di bawah dan atas tanah hari ini keluar meraikan kemenangan penduduk Gaza.

“Sebenarnya apa yang berlaku perjuangan lebih besar baru bermula. Peperangan pada masa akan datang adalah untuk membebaskan al Quds dan bumi Palestin.

“Hari penduduk Gaza kembali ke tempat sisa-sisa runtuhan kediaman mereka yang kini ranap bagi membina semula penghidupan.

“Jadi rakyat Malaysia hendaklah mengambil peluang membantu mereka membangunkan semula Gaza dengan menghulurkan bantuan,” katanya.

Nadir juga memberitahu beliau bersama keluarga keluar ke jalanan bersama penduduk Gaza bagi meraikan kemenangan tersebut sambil meraikan sambutan Hari Raya.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Kelantan Ustaz Zulqarnian Hassan pula berharap pejuang-pejuang dan penduduk di Gaza terus tabah dalam perjuangan mempertahankan tanah air mereka.

Sepanjang 11 serangan tentera zionis Israel menyebabkan seramai 232 rakyat Palestin telah terkorban. Namun rejim itu ditentang hebat Hamas, Jihad Islami serta beberapa lagi kumpulan pejuang Palestin. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -