KUALA LUMPUR: Percanggahan kenyataan antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhubung laporan pelaksanaan lockdown di Negeri Selangor menunjukkan tiada penyelarasan yang dibuat kerajaan negeri berkenaan.
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam berkata, fakta yang diberi beberapa pemimpin parti itu berhubung pelaksanaan lockdown di negeri berkenaan wujud percanggahan kenyataan kurang dalam tempoh sejam.
“Fakta yang dikemukakan Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Siti Mariah Mahmud hanya sebagai alasan justifikasi tindakan mereka yang mendakwa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat akan memberi kesan buruk kepada negeri dan rakyatnya.
“Bagaimanapun, PKP dan lockdown akan dilaksanakan mengikut kes semasa. Kes semasa dan baharu di Selangor adalah yang tertinggi di Malaysia buat masa ini,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.
Menurutnya, tindakan mereka membandingkan jumlah jangkitan dengan peratusan populasi penduduk di negeri berkenaan adalah keputusan yang tidak cermat.
“Setiap nyawa adalah penting tidak kira daripada populasi yang tinggi ataupun rendah.
“Malah, di kawasan populasi yang tinggi seperti Selangor lagi membimbangkan kerana kadar jangkitan dan penularan yang tinggi dan cepat.
“Seorang penduduk di Selangor yang dijangkiti berpotensi untuk menjangkiti kepada ribuan orang yang lain,” ujar beliau.
Sebelum ini, media melaporkan wujud kekeliruan berkenaan laporan kononnya Selangor enggan melaksanakan lockdown atau PKP yang lebih ketat.
Oleh kerana kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu sidang media berasingan pada Rabu memaklumkan PKP tidak perlu dilaksanakan berikutan kadar kebolehjangkitan di Selangor masih rendah berbanding negeri lain seperti Kelantan dan Pahang.
Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan kenyataan Dzulkefly bukanlah sesuatu ketetapan kerana ia masih di peringkat perbincangan. – HARAKAHDAILY 20/5/2021