ALOR SETAR: Pejabat pentadbiran Kerajaan Negeri, Wisma Darul Aman akan ditutup sementara berikutan terdapat beberapa kes positif Covid-19 dikesan di kawasan berkenaan.
Walau bagaimana pun penutupan sementara itu tidak membabitkan sektor-sektor penting.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jabatan yang diarah tutup akan dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan kakitangan terbabit dikehendaki bekerja dari rumah.
“Sekiranya ada keperluan mesyuarat akan diadakan secara di atas talian. Saya mengharapkan individu yang dikesan positif Covid segera mendapat rawatan dan mendoakan cepat sembuh,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman semalam.
Sanusi juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM700,000 bantuan mangsa Covid di daerah dan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) di negeri itu.
Peruntukan itu katanya melibatkan RM200,000 untuk menyediakan 2,000 bakul makanan di Bandar Darul Aman dan Lubuk Kawah di daerah Kubang Pasu.
Manakala sebanyak 5,000 bakul makanan untuk daerah Kota Setar yang melibatkan kos RM500,000.
“Kita akan bagi kepada keluarga yang betul-betul memerlukan. Kepada yang mempunyai kewangan boleh menggunakan wang sendiri untuk menyediakan keperluan,” ujarnya.
Sebelum ini 28 mukim di daerah Kota Setar dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) berkuatkuasa 19 Mei hingga 1 Jun ini berikutan terdapat penularan wabak Covid-19.
Menteri Besar juga mahu penduduk di kawasan terbabit merujuk Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD berkenaan di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara terutama berkaitan kebenaran keluar masuk ke daerah terlibat.
“Ada sedikit perbincangan berkenaan SOP tersebut, antaranya berkaitan surat pengesahan ujian saringan terutama di daerah Kota Setar.
“Difahamkan orang luar yang nak masuk ke situ tak perlu sertakan surat pengesahan swab test tetapi yang di dalam daerah terlibat tetapi bekerja di luar, perlu ada surat ujian saringan. Jadi perkara ini perlu diperjelaskan lagi,” tambahnya.
Menurutnya juga kerajaan negeri menghadapi masalah kekurangan pendapatan kerana situasi pandemik yang tidak menentu sekarang, di mana pembayar cukai belum lagi menjelaskan hasil kepada kerajaan.
“Saya harap bayaran yang wajib dibayar perlu dijelaskan segera. Contohnya bayaran cukai tanah. Kerajaan menyediakan applikasi i-Bayaq secara di atas talian untuk memudahkan pembayaran.
“Kerajaan juga perlu mengurus kewangannya untuk masa depan. Jadi perlulah membuat bayaran berterusan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 20/5/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!