KUANTAN: PAS Negeri Pahang telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM707,527 kutipan derma untuk kempen #Aid4Palestine sehingga pukul 12 tengah hari semalam, demikian umum Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar.
PAS negeri tegasnya, mengecam keras serangan dan kebiadaban rejim Zionis Israel terhadap umat Islam di Masjid Al Aqsa dan Gaza yang menyebabkan kematian, kecederaan serta kemusnahan pada kediaman, sekolah, bangunan kerajaan dan harta benda.
“Kutipan #Aid4Palestine ini telah dibuat hanya dalam tempoh 5 hari bermula 3 Syawal baru-baru ini. Jelas di sini menunjukkan semangat luar biasa ahli PAS walaupun dalam cengkaman pandemik COVID-19 dan baru sahaja buat persiapan hari raya.
“Namun tidak menghalang mereka untuk melancarkan dan menghulurkan derma jihad,” ujar beliau yang juga ADUN Tanjung Lumpur dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuantan.
Beliau turut berharap agar sumbangan ini menjadi saksi kebaikan sehingga para penyumbang ditempatkan bersama para mujahidin dan syuhada di Akhirat kelak, serta meringankan penderitaan saudara seagama di bumi Palestin atas solidariti kemanusiaan.
“Sumbangan ini akan diserahkan melalui PAS Pusat kepada Tabung #Aid4Palestine dalam masa terdekat,” kata Ustaz Rosli.
Bendahari PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman bin Abdul Halim berkata, semua ahli PAS daripada 14 kawasan seluruh Pahang termasuk Badan Perhubungan, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Dewan Ulamak telah berusaha mengumpul dana bantuan kepada Palestin.
“Kawasan paling tertinggi mengumpul dana adalah dari PAS Kuala Krau sebanyak RM102,206, diikuti Indera Mahkota RM92,560 dan Rompin RM72,976 dan diikuti 12 lagi kawasan membabitkan keseluruhan kutipan RM707,527,” katanya ketika dihubungi.
Sehubungan dengan itu, PAS Pahang menyeru seluruh umat Islam terus berdoa dan mengadakan solat hajat supaya penderitaan rakyat Palestin akan segera berakhir dan kemusnahan bagi rejim Israel dan kuncu-kuncunya. – HARAKAHDAILY 20/5/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!