Masih ada percaya Covid-19 tidak berjangkit di masjid?

- Advertisement -

DUA hari lepas satu lagi kluster baharu iaitu Kluster baharu Kampung Kemuning Alor Gajah dikesan yang berpunca daripada aktiviti keagamaan di sebuah madrasah pada bulan Ramadan lepas.

Bermula Ahad lepas pula, Kampung Lubuk Redan di Masjid Tanah, Melaka telah mula melalui Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 29 Mei depan melibatkan 730 orang penduduk kampung ini.

Kes ini pada awalnya tercetus di sebuah surau di Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru, akibat aktiviti keagamaan semasa bulan Ramadan yang tidak mematuhi SOP yang kemudiannya merebak di dalam radius 10 kilometer di kampung-kampung sekitar khususnya Kampung Lubuk Redan.

- Advertisement -

Selain itu, satu lagi kluster iaitu Kluster Tanjung Rimau dalam daerah Alor Gajah yang dikesan pada 13 Mei lepas juga berlaku semasa aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan ketika solat Tarawih, jemaah fardu dan tadarus.

Sebenarnya ini bukan kali pertama kluster yang melibatkan aktiviti keagamaan di masjid dan surau. Pada awal-awal berlakunya Covid-19 sekitar bulan Mac tahun lepas wujud kluster yang dipanggil Kluster Seri Petaling berpunca daripada aktiviti kumpulan Jemaah Tabligh di Masjid Seri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu laporan media ketika mengumumkan berakhirnya kluster ini berkata kluster berkenaan sudah menjangkiti seramai 3,375 individu yang menyertai perhimpunan berkenaan termasuk ahli keluarga mereka.

Sehingga kluster ini diisytiharkan tamat pada 8 Julai tahun lepas, seramai 42,023 individu sudah disaring untuk kluster ini. Daripada jumlah berkenaan 3,375 kes positif dilaporkan iaitu 38.9 peratus daripada jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia pada masa itu.

Kluster percaya jaminan Allah Covid-19 tidak berjangkit di masjid

Dan sehingga kini di luar sana masih ramai lagi dalam kalangan orang ramai yang mempertikaikan SOP untuk masjid dan surau yang menurut mereka bercanggah dengan Islam.

Mereka kata mereka jumpa hadis yang mengatakan bahawa sesiapa yang beribadat di masjid tidak akan terkena mudarat seperti jangkitan penyakit Covid-19. Kerana itu bersolat dengan penjarakan itu adalah sesuatu yang mengarut menurut mereka.

Kerana itu juga ramai yang marah apabila ada penguatkuasa yang mengenakan tindakan saman kepada pihak masjid yang tidak mematuhi SOP di Pahang sikit masa dulu. Penguatkuasa dicerca dan dituduh dengan pelbagai tuduhan.

Sebenarnya awal-awal lagi Allah SWT sudah pun memberikan contoh dan pengajaran bahawa tidak ada kekebalan pun sesiapa yang beribadat di masjid dengan terjadinya Kluster Seri Petaling tadi. Namun golongan yang mengaku mereka lebih faham Islam ini nampaknya tidak reti mengambil pengajaran.

Sekarang ini pun mereka sudah menukar pula hujah mereka. Jika dahulu mereka kata Allah swt menjamin mereka yang beribadat tidak akan terkena jangkitan penyakit, sekarang ini mereka kata bahawa mangsa-mamgsa yang terkena Covid-19 di masjid dan madrasah ini adalah mereka yang diangkat darjatnya dan diuji oleh Allah SWT.

Namun mereka tetap dengan hujah mereka bahawa masjid dan surau tidak perlu ditutup dan solat dengan kaedah dengan penjarakan juga tidak perlu walau bagaimana tinggi pun kes Covìd-19 di sesuatu kawasan.

Kepercayaan melampau-lampau pada keajaiban

Sebenarnya pada saya perkara ini berlaku kerana kepercayaan terhadap keajaiban yang melampau-lampau dalam kalangan sesetengah umat Islam. Mereka percaya, asal rumah Allah SWT sahaja, iaitu masjid dan surau, maka tidak ada perkara mudarat akan berlaku. Mereka percaya tidak akan berjangkit penyakit di masjid kerana ia rumah Allah SWT yang dijamin oleh Allah swt sendiri.

Mereka menggunakan peristiwa keajaiban masjid yang tidak runtuh dan tidak dinaiki air semasa tsunami di Acheh dahulu sebagai bukti. Mereka beranggapan asalkan masjid sahaja maka tidak akan runtuh disebabkan bencana.

Mereka lupa bahawa Kaabah pernah runtuh beberapa kali disebabkan banjir. Malah Hajar Aswad pernah dicuri dan tinggal bertahun-tahun di dalam simpanan pencurinya sebelum ia dipulangkan semula.

Semasa di sekolah dahulu saya ingat lagi dalam subjek agama Islam guru saya pernah menjelaskan beza antara keajaiban mukjizat, karamah dan sihir. Ketiga-tiga perkara ini adalah perkara yang menyalahi akal, alami dan fitrah.

Namun yang membezakannya ialah mukjizat atau karamah dikurniakan oleh Allah SWT kepada rasul atau wali Allah sedangkan sihir adalah sesuatu yang dipelajari dan diamalkan manusia daripada ilmu syaitan.

Seseorang rasul yang dikurniakan mukjizat atau wali Allah yang dikurniakan karamah tidak boleh menggunakan mukjizat atau karamahnya sesuka hati pada bila-bila masa kerana ia bukan sesuatu yang di dalam kawalan mereka. Ia adalah kurniaan Allah SWT pada masa-masa tertentu. Berbeza dengan sihir yang boleh dilakukan oleh pengamalnya pada bila-bila masa yang dia mahu.

Islam juga mengajarkan elemen alami dan fitrah

Rasulullah SAW pernah dikurniakan mukjizat apabila Baginda bersama dengan sahabat Baginda berjalan keluar daripada rumah Baginda yang dikepung musyrikin Makkah sebelum peristiwa Hijrah dalam keadaan mereka tidak dilihat oleh musuh yang mengepung rumah Baginda.

Tapi bukan selama-lamanya musuh tidak dapat melihat Baginda. Jika setiap masa genting dan peperangan Rasulullah SAW tidak akan dilihat musuh maka mudah sahaja Baginda boleh menikam musuh-musuh semasa peperangan-peperangan yang dilalui Baginda. Dan tiada siapa boleh menyerang Baginda.

Namun hakikatnya Baginda tetap berperang seperti manusia biasa. Malah dalam perang Uhud gigi mulia Baginda patah ketika diserang bertubi-tubi tentera musuh.

Dan sebab itu Allah SWT mengajar umat Islam melalui Rasulullah SAW agar bermesyuarat untuk membuat keputusan. Bukankah Rasulullah SAW boleh bertanya terus kepada Allah SWT untuk mendapatkan keputusan paling tepat? Boleh, tapi Islam tidak mengajar begitu. Islam mengajar umatnya untuk berfikir dan mencari jalan menyelesaikan masalah. Ini dipanggil fitrah dan alami.

Elemen fitrah ini juga dapat dilihat semasa Allah swt memerintah Nabi Musa A.S agar mengetuk tongkatnya ke tanah dan kemudian dengan izin Allah SWT Laut Merah terbelah. Mengapa tidak Allah SWT belah sahaja laut itu tanpa perlu Nabi Musa AS mengetuk tongkatnya ke bumi? Boleh saja. Tapi di situ Allah SWT ingin menunjukkan elemen usaha dan fitrah perlu ada dalam kehidupan.

Kita ada doktor perubatan yang akan menasihatkan kita dalam soal kesihatan dan penyakit berjangkit ini. Tak perlu kita menegakkan benang basah dengan bersandarkan hadis-hadis daif atau pun hadis yang ditafsir sendiri dengan cara yang salah dan tanpa ilmu.

Bukti sudah ada di depan mata bahawa tidak ada jaminan bahawa penyakit tidak akan berjangkit di masjid. Jangan sampai ‘fatwa’ dan kepercayaan salah kita membunuh orang lain yang termakan dengannya.

Berbalik kepada soalan saya di awal tadi bahawa selepas menyaksikan banyak kejadian jangkitan Covid-19 di masjid dalam aktiviti keagamaan ini, masih ada lagikah yang percaya bahawa Covid-19 tidak akan berjangkit semasa kita beribadat di masjid? Jawabnya, iya, masih ada… – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -