Semarak kempen ‘self-lockdown’ seluruh negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pandemik Covid-19 memang banyak menguji kesabaran pemimpin, rakyat dan negara keseluruhannya, kata Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dr. Mohd Mazri Yahya.

Beliau berkata, jumlah pesakit yg semakin meningkat sehingga mencecah pesakit harian seramai lima ribu orang menggambarkan keseriusan pandemik itu.

“Sekiranya tidak dibendung, perkhidmatan kesihatan yang sememangnya kritikal akan tepu dan tidak dapat menampung jumlah pesakit yang semakin ramai terutama di unit rawatan rapi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan telah berusaha untuk mengatasi perebakan Covid-19 di samping mengimbangi kesan pengucupan ekonomi dengan melaksanakan pelbagai bentuk perintah kawalan.

Tambahnya, usaha kerajaan itu adalah sama dan bersesuaian dengan amalan negara-negara lain di seluruh dunia di mana ada yang berjaya dan sebaliknya.

Katanya lagi, negara yang berjaya mengatasi Covid-19 mempunyai sikap rakyat yang sama iaitu kesungguhan dan disiplin.

“Sekiranya sikap yang betul dan disiplin yang kental, insya-Allah kita akan berjaya mengekang perebakan Covid-19,” ujarnya.

Justeru, kata beliau Lajnah Kesihatan PAS Pusat menyeru setiap lapisan masyarakat menyahut kempen ‘self-lockdown’ (kawalan pergerakan kendiri) yang dianjurkan oleh NGO Persatuan Amal Perubatan Ibnusina (PAPISMA) bagi bersama-sama membantu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di dalam mengekang perebakan Covid-19 dapat dikawal.

Menurutnya, beberapa perkara yang disarankan untuk dilakukan sepanjang kempen termasuk:

  • Membeli barang keperluan hanya seminggu sekali
  • Mengisi minyak kenderaan dengan tangki penuh
  • Solat berjemaah lima waktu bersama keluarga di rumah
  • Optimumkan pembelian secara dalam talian
  • Polisi zero tetamu
  • Cari keperluan di kedai paling hampir dengan kediaman
  • Tidak keluar rumah dari jam 8 malam hingga 5 pagi

Di samping itu, ujar beliau segala prosedur operasi standard (SOP) yang dianjurkan oleh KKM perlu dipatuhi dengan penuh disiplin.

“Sekiranya kita dapat melaksanakan semua ini secara sukarela dan menggalakkan kenalan sanak saudara dan sahabat handai untuk turut serta, kami percaya kita akan berjaya di dalam peperangan melawan Covid-19 ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -