Keadaan wabak di Kelantan masih terkawal

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan sentiasa bersedia jika berlaku sebarang kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan di negeri itu seperti dicadangkan di Selangor.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sehingga kini keadaan wabak di Kelantan masih stabil.

Katanya jumlah kes menunjukkan penurunan biarpun masih mencatat tiga angka.

- Advertisement -

“Sebarang keputusan dan tindakan yang ingin dilakukan kita rujuk kepada nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan setelah dibincang dan diputuskan bersama.

“Sebarang keputusan itu diambil daripada pelbagai pandangan melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri dan dari situ kita akan buat keputusan. Setakat ini kita masih stabil lagi,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Semalam Kelantan mencatat peningkatan jumlah kes harian Covid-19 sebanyak 406 kes dan menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negeri itu 19,973 kes.

Manakala kadar kebolehjangkitan (Rt) di Kelantan ialah 0.93 berbanding Rt Nasional 1.06.

Mohd Amar berkata, sebarang keputusan muktamad bergantung kepada MKN kerana sebarang polisi perlu mengikut keadaan semasa memandangkan negara masih berada dalam proklamasi darurat.

Mengenai kebenaran operasi perniagaan di tepi jalan kata beliau ia tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) MKN memandangkan Kelantan masih berada dalam PKP.

“Ramai orang kita kurang faham tentang prosedur dan kaedah perjalanan kerajaan. Sebab itu bila mereka marah, marah tidak kena pada tempat.

“Apabila kita ingin buat sesuatu keputusan kita akan bincang panjang aspek positif dan negatif, baik buruk tetapi kadang-kadang kita (kerajaan) perlu buat keputusan kerana itulah keperluan pada waktu itu.

“Kita tahu ada rakyat tidak suka misalnya semasa kita batalkan Bazar Ramadan,” katanya.

Oleh itu beliau berharap orang ramai terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan jadikan pengalaman lepas sebagai iktibar dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Bersama kita semua patuhi SOP yang ditetapkan. Sebab itu sahaja satu cara bagi membendung penularan wabak ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -