Bersatu lawan kekejaman Israel

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu lantang bersuara menzahirkan bantahan terhadap kekejaman rejim Israel bagi melindungi rakyat Palestin.

Malah masyarakat Islam di seluruh dunia disaran berganding bahu menyuarakan solidariti menentang kezaliman Zionis Israel dengan mengetengahkan dan berkongsikan isu di Gaza di media sosial.

Ahli Parlimen Belia Malaysia, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Hakim Hafizi Hamizan, mengajak negara-negara Islam mengambil cakna akan kebajikan warga Palestin di Gazan.

- Advertisement -

“Saya menyeru agar Malaysia dan negara-negara Islam bersatu menentang tindakan Zionis dan terus ketengahkan isu yang berlaku di Palestin.

“Ini adalah isu penting untuk menyatukan hati umat Islam yang beriman dan kasih kepada tanah Palestin, walaupun berbeza ideologi serta pendapat,” katanya menerusi suatu kenyataan di sini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan rasional yang dilakukan oleh Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa berhubung isu kezaliman Zionis Israel yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin yang semakin hari mereka ditindas dan diperlakukan tanpa belas kasihan.

Tambah beliau, jika pertubuhan ini tidak memainkan peranan yang sepatutnya, Malaysia serta negara Islam yang lain perlu bersatu dalam meneruskan usaha membantu dan memberi sokongan padu kepada Palestin dengan mengecam sekeras-kerasnya kezaliman terkutuk Zionis Israel.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap kesedaran rakyat Malaysia khususnya anak muda yang bersatu hati menentang kezaliman Zionis Israel melalui media sosial. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -