Akhirnya ‘hero’ baru Gaza muncul jua

- Advertisement -

HEBAT, nak jadi hero Gaza pula hari ini ya. Tangan kamu masih berdarah dengan nyawa orang awam Mesir yang tak berdosa dibunuh di Rabaah dan Nahdhah, terakhir kamu gantung 9 orang pejuang Islam pada 21 April 2021 ketika mereka sedang berpuasa termasuk yang digantung ialah seorang ulamak tua, Syeikh Abdul Rahim Jibril yang telah berusia 82 tahun tanpa belas ihsan melalui mahkamah yang kamu tunggang menolak rayuan mereka. Sebelum hukuman ini dilaksanakan, televisyen kamu menyiarkan filem bersiri ‘Ikhtiyar 2’ sepanjang Ramadan (bulan baik, bulan mulia dicemari dengan filem jahat) yang filem ini penuh dengan hasutan, penipuan dan rekaan terhadap apa yang berlaku di Rabaah. Hari ini kamu wahai Sisi nak jadi hero Gaza. 

Hanya orang yang ‘buta’ akan jadi pengkagum kepada Firaun Moden ini dalam isu Gaza. Bagi orang yang tahu cerita sebenar, tiada apa yang perlu dikecohkan pun. Sebab apa yang Sisi buat termasuk membuka pintu sempadan Rafah bagi rakyat Gaza yang cedera akibat pencerobohan Israel dirawat di hospital dalam negara Mesir telah dibuat oleh ‘bos’ Sisi sebelum ini, iaitu Hosni Mubarak tahun 2008.

- Advertisement -

Lagipun pintu Rafah itu hanya dibuka beberapa jam sehari dan sebelum ini sekian lama ditutup berbanding pada zaman Almarhum Dr. Morsi menjadi Presiden. Ketika itu, Israel menyerang Gaza maka Dr. Morsi mengarahkan pintu sempadan Rafah dibuka 24 jam bagi tujuan menghantar bantuan kemanusiaan selain membawa keluar mangsa yang cedera dari Gaza. Cukup kesengsaraan saudara kita di Gaza apabila Mesir menyekat mereka melalui penutupan pintu sempadan Rafah ini. 

Sikap ‘lunak’ As-Sisi kepada Palestin ini termasuk pengumuman pembangunan semula Gaza ada mesej tersendiri iaitu:

1. Mesir mahu menghantar mesej kepada Israel kerana pendirian Israel menyokong negara Ethopia dalam isu Empangan Nahdhah. Dengan terbinanya empangan ini, Mesir akan mengalami gangguan sumber air dan tekanan dari rakyat termasuk Ahli-ahli Parlimen Mesir yang mahu As-Sisi lebih tegas dengan Ethopia.

2. Selepas normalisasi yang dilakukan oleh Bahrain, UAE dan Morocco, Mesir yang sudah mengiktiraf Israel sejak 1978 lagi bahkan menjadi negara Arab pertama mempunyai hubungan dengan negara haram itu kini merasa peranannya dikesampingkan oleh Israel. Israel lebih intim dengan 3 negara Arab tersebut. 

Jadi, dua isu ini lah yang menjadikan Mesir memberi signal tanda ‘protes’ kepada Israel dengan menunjukkan sikap lunak menyokong Palestin. Saya percaya, selepas ini jika Israel membuat U-turn kepada Mesir, maka berita pengumuman USD 500 juta ini akan disimpan dalam arkib berita untuk kenangan anak cucu sahaja. 

Jika pentadbiran rejim As-Sisi hari ini benar-benar telus dan tulus, sila bebaskan ribuan rakyat awam yang merengkok dalam penjara hari ini. Jika tidak mahu bebaskan pimpinan tertinggi Ikhwan Muslimin sekalipun, bebaskan orang awam yang bukan dari Ikhwan Muslimin, bukan pengganas, penjahat, mereka hanya rakyat yang mengkritik pemerintahan diktator As-Sisi. 

Lihatlah apa yang berlaku kepada pendukung kuat As-Sisi sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Ali Tantawi dan ramai lagi. Bila mahu menggulingkan Morsi, mereka lah bersama As-Sisi. Apabila mereka kemudian mengkritik pentadbiran As-Sisi termasuk isu pembinaan pusat pentadbiran baru di Mesir Jadidah, mereka pula dibuang.

Berbalik kepada isu Palestin. Benar Mesir membantu, seperti yang saya katakan membantu ala kadar dan mengecam Israel pun sekadar ambil syarat. Apa yang dikongsi oleh Ketua Biro Politik HAMAS, Ismail Haniyyah melalui ciapan Twitter beliau yang mengucapkan terima kasih kepada Mesir itu satu tanggungjawab mereka. Namun, apa yang dibuat oleh rejim As-Sisi sedikitpun tidak melupakan kezaliman yang dibuat kepada gerakan Islam dan pendukung agama di negara itu.

“Jangan Mudah Kena Tipu”
“Darah Rabaah Masih Segar”

AKHUKUM ABDUL MALIK
19 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -