Varian baharu: KKM jangka kes Covid-19 melonjak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penularan varian-varian baharu virus SARS-CoV-2 di dalam komuniti terutamanya beberapa Variant of Concern (VOC) di Malaysia kebelakangan ini adalah amat membimbangkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan akan berlaku lonjakan bilangan kes harian Covid-19 seperti yang telah berlaku di luar negara.

“Ini adalah kerana varian-varian VOC ini dikaitkan dengan kadar penularan yang lebih cepat dengan kadar kematian yang lebih tinggi,” ujar KKM dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya, malam ini.

- Advertisement -

Menurutnya, selain daripada meningkatkan kapasiti sistem perkhidmatan kesihatan negara, KKM ingin menyarankan supaya orang ramai melakukan kawalan pergerakan kendiri terutama dalam tempoh PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara kita.

“Ianya bermula dengan diri kita sendiri.

“Kawalan pergerakan kendiri ini boleh dilakukan dengan duduk sahaja di rumah, tidak keluar dari rumah jika tiada keperluan penting dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama sekiranya perlu keluar rumah atas apa-apa urusan penting.

Katanya, majikan juga digalakkan untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan menghadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa.

Tambahnya, orang ramai boleh melakukan kawalan pergerakan kendiri ini dengan mematuhi langkah-langkah seperti berikut:

1. Kekal duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar;

2. Sentiasa menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap cuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer;

3. Elakkan daripada menyertai sebarang aktiviti yang berisiko untuk terdedah dengan orang ramai;

4. Elakkan daripada menerima tetamu di rumah;

5. Optimumkan penggunaan teknologi komunikasi untuk kekal berhubung dengan sahabat-sahabat dan sanak-saudara;

6. Gunakan perkhidmatan atas talian sekiranya perlu membuat sebarang pembelian;

7. Rancang pergerakan anda bagi mengelakkan kesesakan di tempat awam sekiranya perlu keluar dari rumah;

8. Masak makanan sendiri untuk khasiat yang lebih baik dan seterusnya mengelakkan daripada risiko untuk mendapat jangkitan Covid-19;

9. Lakukan aktiviti senaman di dalam kawasan rumah sendiri;

10. Amalkan kuarantin kendiri di rumah dengan penuh tanggungjawab sekiranya:

a) telah dikenal pasti di aplikasi MySejahtera sebagai kontak kasual, Person Under Surveillance (PUS), kes suspek, atau confirmed case;

b) setelah menjalani ujian saringan Covid-19 sehingga keputusan ujian diketahui;

c) telah dikenalpasti sebagai kontak rapat dan masih menunggu panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD); dan

d) sekiranya telah dikesan positif Covid-19 dan sedang menunggu panggilan PKD, sila kekal tinggal di rumah melainkan memerlukan rawatan perubatan kecemasan.

Negara masih kekal merekodkan kes harian Covid-19 melebihi empat digit dengan kes aktif ketika ini sudah melebihi 40,000 kes.

Kebanyakan hospital kerajaan mahupun swasta, serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara juga telah hampir mencecah kapasiti maksimum.

Lebih membimbangkan, didapati terdapat semakin banyak kes positif yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan sokongan alat bantuan pernafasan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada masa yang sama juga, jumlah kes kematian harian yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan makin meningkat saban hari.

Peningkatan kes-kes secara mendadak ini telah memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Rakyat Malaysia adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.

Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita! – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -