PKPD: MB nasihat penduduk elak keluar rumah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak 28 mukim di daerah Kota Setar dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 19 Mei hingga 1 Jun ini berikutan situasi kes Covid-19 semakin meningkat.

Enam daripada 28 mukim daerah terbabit direkodkan sebagai Zon Merah, antaranya Mukim Mergong, Mukim Kota Setar, Mukim Pengkalan Kundur, Mukim Derga, Mukim Kangkong dan Mukim Anak Bukit.

Menteri kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu penularan jangkitan wabak terbabit ke seluruh daerah berkenaan hanya dalam tempoh lapan hari bermula 8 Mei hingga 16 Mei lalu.

- Advertisement -

“Dalam tempoh lapan hari itu sebanyak 799 kes jangkitan dikesan menjadikan hampir 100 kes sehari direkodkan secara purata di daerah terbabit,” kata beliau semalam.

Punca jangkitan dikenalpasti melalui kluster baharu iaitu Dah Putih selain kluster-kluster sedia ada.

Sehubungan itu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menasihatkan penduduk yang berada di daerah yang dikenakan PKPD menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) dan elak keluar rumah sekiranya tiada keperluan penting.

Katanya, golongan berisiko dan warga emas terus berada di rumah dan elak berada di tempat awam.

“Pelaksanaan PKPD bertujuan mengawal pergerakan penduduk di daerah itu serta menyekat penularan jangkitan kes Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain,” katanya di sini.

Daerah Kota Setar antara lima daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 1 Mei lalu, sebelum PKP menyeluruh di Kedah dikuatkuasakan pada 13 Mei lalu.

Daerah terbabit juga pernah dikenakan perintah kawalan yang sama pada tahun lalu berikutan lonjakan jangkitan wabak terbabit yang berpunca dari Kluster Sungai.

Daerah Kota Setar juga antara yang terbesar di Kedah dan mempunyai 28 mukim merangkumi tiga kawasan iaitu Kuala Kedah, Alor Setar dan sebahagian Pokok Sena selain itu pusat pentadbiran Kerajaan Negeri. – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -