Palestin: Ada rakyat Kelantan sumbang RM50,000

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan masih membuka ruang kepada rakyat negeri itu menyumbang bagi membantu umat Islam di Palestin sebagai menzahirkan solidariti terhadap mereka yang ditindas rejim Zionis.

Pengerusi Program #Aid4Palestine Peringkat Negeri Kelantan, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, sumbangan itu boleh dihulurkan sehingga esok.

Katanya, jumlah akhir kutipan sumbangan melalui Tabung Serambi Mekah tersebut juga akan diumumkan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

- Advertisement -

“Sehingga sekarang kami berjaya mengumpul hampir sebanyak RM1 juta seperti mana sasaran awal. Kita juga ada menerima RM50,000 daripada seorang individu.

“Mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan derma masing-masing boleh dilakukan melalui tabung Serambi Mekah,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan dengan Koordinator Kempen #Aid4Palestine peringkat negeri Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa di sini hari ini.

Wan Roslan juga berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di atas kurniaan sumbangan baginda ke tabung tersebut sebanyak RM300,000.

Oleh itu mana-mana pihak yang ingin menderma boleh terus salurkan sumbangan ke Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Serambi Mekah) melalui Bank Islam Malaysia Berhad – 03018010080024.

Baru-baru ini Menteri Besar mengumumkan Kelantan menyumbang sebanyak RM100,000 melalui Tabung Serambi Mekah bagi membantu rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -