Laksana audit segera kit ujian Covid-19 di pasaran

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan audit segera dan berkala terhadap kualiti kit ujian pantas (RTK) Antigen untuk mengesan jangkitan Covid-19 yang berada di pasaran.

Presidennya, Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata terdapat kira-kira 17 kit ujian RTK Antigen yang diluluskan oleh Lembaga Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP) tetapi tidak semuanya berkualiti.

Advertisement

Beliau berkata MMA menerima aduan daripada beberapa pengamal perubatan bahawa terdapat sesetengah kit ujian RTK Antigen yang digunakan untuk saringan Covid-19 gagal mengesan kes positif.

“Kami amat bimbang kerana negatif palsu dalam keputusan ujian boleh membawa kepada penularan Covid-19 dalam komuniti. Kualiti kit RTK Antigen adalah penting untuk pengamal perubatan mengambil kes-kes positif.

“Satu lagi yang menjadi kebimbangan dalam kalangan pengamal ialah keberkesanan kit ujian RTK Antigen dalam mengesan varian baharu, oleh itu kemas kini mengenai keberkesanannya sangat diperlukan kerana ada laporan mengenai varian baharu di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

MMA juga mencadangkan bahawa perlu ada platform dalam talian yang lebih baik untuk pengamal perubatan mengemukakan aduan atau sebarang masalah yang dihadapi ketika menggunakan kit ujian itu.

Selain itu, MMA turut memberi perhatian terhadap kurangnya ketelusan dalam proses kelulusan kit ujian air liur dan berharap tiada orang tengah yang mengambil kesempatan dalam situasi Covid-19 ketika ini menerusi pengkomersialan kit ujian atau monopoli pasaran. – BERNAMA