Kegiatan pelabuhan dan perkapalan ‘kembali’ ke Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan memohon mewujudkan Lembaga Pelabuhan Kedah serta diberikan beberapa tempat di persisir pantai negeri ini bagi menjalankan kegiatan berkaitan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, buat masa ini semua pelabuhan di Utara Semenanjung dikendalikan Lembaga Pelabuhan Pulau Pinang di mana kewujudan khusus Lembaga tersebut agar negeri turut mendapat manfaat daripadanya.

“Kedah sendiri akan juga memohon beberapa ‘spot‘ di sekitar pesisir pantai Kedah diberi kepada kerajaan negeri sebagai platform ‘ship to ship transfer… state own‘,” ujarnya.

Beliau mengalu-alukan pengisytiharan pewartaan Yan sebagai Pelabuhan Persekutuan berkuatkuasa 10 Mei 2021 sebagaimana yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Dato’ Dr Wee Ka Siong, hari ini.

Kata Sanusi, setakat maklumannya terdapat projek pelabuhan yang dipohon pihak swasta untuk dibuat di Pulau Bunting, Yan di samping beberapa tempat untuk projek pemindahan gas dan minyak dari kapal ke kapal.

Kedah mengikut sejarahnya adalah merupakan pelabuhan perkapalan dunia terawal di rantau ini dengan turut mempunyai pemerintahan dan ketamadunannya yang tertulis dalam banyak catatan penting.

Umum Dato’ Dr Wee, perisytiharan tersebut adalah di bawah Seksyen 5, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 di mana suatu Had Pelabuhan juga telah diisytiharkan di dalam warta sama.

“Ia melibatkan keluasan perairan 600 kilometer persegi dengan mengambil kira jarak sejauh lebih kurang 20 batu nautika dari pantai Yan di bawah Seksyen 6 Ordinan yang sama,” ujarnya.

Maklum beliau, Pihak Berkuasa Pelaksana NCER (NCIA) telah berhasrat untuk melakukan aktiviti perkapalan dan pembangunan di pesisiran Pulau Bunting yang terletak di Perairan Yan, Kedah.

NCIA adalah agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan Wilayah Utara dengan merangka strategi pengembangan dan pembangunan sosio-ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Katanya, pembangunan di Yan sebagai pelabuhan dijangka akan meningkatkan aktiviti perkapalan di perairan tersebut dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan serta membangunkan kawasan sekitar.

“Cadangan pembangunan ini turut dapat menyokong pembangunan industri perkapalan serta memajukan sektor pelancongan sekali gus berupaya menjana ekonomi negara amnya dan negeri Kedah khususnya.

“Pelabuhan ini juga akan dikawal selia oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM), selaku agensi utama di bawah MOT yang bertanggungjawab mengawal selia isu-isu berkaitan perkapalan dan keselamatan pelayaran termasuk pelabuhan.

“Antara tanggungjawab JLM adalah untuk memastikan keselamatan aktiviti dan trafik perkapalan di perairan tersebut yang dijangka akan meningkat termasuk menetapkan ruang laluan selamat, selesa dan bersesuaian di kawasan pelabuhan,” ujarnya.

Katanya, pewartaan dan pembangunan aktiviti perkapalan ini juga adalah sejajar dengan Belanjawan 2021 sepertimana dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 6 November 2020 yang memperuntukkan sebanyak RM780 juta.

Peruntukan itu jelas Wee adalah kepada lima (5) koridor wilayah pembangunan ekonomi bagi projek-projek pembangunan yang akan diteruskan pada tahun 2021 termasuk pembinaan infrastruktur dan komponen projek Zon Pembangunan Khas di Yan dan Baling.

“(Iaitu juga) di bawah NCER yang dilihat akan memberi manfaat besar kepada rakyat dan menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara,” yakininya. – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -
- Advertisement -