Israel ancaman sebenar umat Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Zionis Israel–Amerika terbukti menjadi ancaman terbesar buat seluruh umat Islam di mana salah satu agendanya Deal of Century atau pemetaan semula antara negara-negara Arab.

Di samping itu meluaskan tanah jajahan Israel (Israel Raya) dengan mengusir penduduk-penduduk Palestin secara paksa.

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata, ditambah pula sikap negara-negara Arab yang terus membisu dalam menyatakan bantahan terhadap kezaliman Zionis.

- Advertisement -

Katanya, Malaysia mengambil serius isu tersebut di mana kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan jaminan keselamatan rakyat dan ketenteraman awam oleh kerana wujudnya ancaman Israel terhadap pemimpin-pemimpin yang mendukung perjuangan Palestin.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi keselamatan lain bersiap-siaga bagi melindungi rakyat Malaysia termasuk warga Palestin yang berada dalam negara ini.

“PAS terus konsisten tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara serta teguh menyokong sikap kerajaan Malaysia yang tidak mengadakan hubungan diplomatik bersama,” katanya pada satu kenyataan, malam ini.

Bahkan, kata beliau PAS sentiasa berusaha mempertahankan, memperjuangkan hak seterusnya ke arah memerdekakan bumi Palestin menjadi sebuah negara yang berdaulat.

Serangan tidak berperikemanusiaan zionis Israel terhadap penduduk Islam di Gaza sejak akhir Ramadan lepas mendapat kecaman seluruh dunia termasuk rakyat di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Ahad lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh Israel terhadap pemimpin-pemimpin pergerakan perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, KDN juga mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh Israel terhadap pemimpin pergerakan perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“PDRM akan terus mengambil langkah-langkah perlu untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan daripada semua aspek,” menurutnya dalam satu kenyataan. – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -