Hina Agong, UMMAH tampil buat laporan polis

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Gerakan Pembela Ummah Negeri Perak (UMMAH) hari ini, sekali lagi tampil membuat laporan polis terhadap pengguna Facebook Aspan Alias kerana dikatakan menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi UMMAH Negeri Perak, Khalil Idham Lim (foto) berkata, Aspan Alias memuat naik satu hantaran menghina YDPA pada 16 Mei 2020 jam 2.23 petang dengan menulis “Saya amat bimbang bahawa Tengku Abdullah dilihat oleh rakyat sebagai seorang ahli perniagaan bukan sebagai seorang raja kepada sebuah negara yang berdaulat. Ramai yang mengomen bahawa Baginda telah menurunkan darjat Baginda kepada satu agen komisyen yang besar.

Aspan Alias juga menulis, “Tengku Abdullah yang menyalahgunakan kedudukan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong juga perlu turun dari takhta.”

- Advertisement -

Dedah Khalil Idham lagi, Aspan Alias seolah menuduh Tengku Abdullah menjatuhkan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Susulan kenyataan tidak bertanggungjawab itu yang tular di media sosial, Khalil Idham yang juga Setiausaha Agung UMMAH hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Serai pagi tadi.

Khalil Idham Lim tampil membuat laporan polis di IPD Bagan Serai Perak, pagi tadi.

Baginya, kenyataan itu merupakan satu tuduhan yang berat dan tidak berasas.

Katanya, tindakan Aspan Alias adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menyebut apa-apa perkataan menghasut yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan serta di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Khalil Idham meminta pihak polis membuat siasatan terperinci dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Selain itu, beliau menasihatkan rakyat Malaysia untuk terus bertenang dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

“Serahkan sepenuh kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan pemimpin negara untuk mentadbir dalam suasana mencabar akibat wabak Covid-19.

“Sudah-sudahlah berpolitik dan melakukan tindakan yang melampaui batas dalam suasana kita perlu bertenang,” nasihat Khalil Idham. – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -