Benarkah terlebih makan semasa hari raya boleh dapat serangan jantung?

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hari Raya Aidilfitri yang menyusul selepas sebulan umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa disambut dengan rasa syukur, meskipun sejak dua tahun yang lalu, ia diraikan serba sederhana kerana pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

Pelbagai juadah dihidangkan untuk hidangan makan sesama keluarga, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dkuatkuasakan untuk seluruh negara (12 Mei hingga 7 Jun) melarang sebarang aktiviti ziarah hari raya.

Lemang, ketupat dan rendang antara juadah yang menjadi pilihan utama, namun bagi mereka yang meminati makanan tradisi hari raya ini, pasti ada yang pernah terkesan dengan stigma yang mengaitkan makanan ini dengan jantung terhenti mengejut. Namun, apakah ianya benar?

- Advertisement -

Stigma yang tidak benar

Perunding Pakar Kardiologi (Electrophysiology) di Hospital Serdang, Dr Abdul Raqib Abd Ghani dalam menolak stigma berkenaan berkata, jantung terhenti mengejut boleh berlaku tanpa mengira masa dan tempat.

Bagaimanapun, jika seseorang itu makan tanpa mengawal pemakanannya, sebagai contoh, terlalu banyak makanan segera terutamanya sewaktu perayaan Aidilfitri, ia boleh meningkatkan tekanan darah tinggi atau menyebabkan kegagalan jantung untuk pesakit kegagalan jantung kronik.

“Meskipun penyakit jantung adalah perkara biasa di Malaysia, kurang kesedaran serta kefahaman dinyatakan salah satu sebab mengapa pesakit jantung semakin ramai di Malaysia.

“Perkara paling penting adalah untuk mengenalpasti tahap kesihatan secara tetap dan bila kita ada peluang, nasihatkanlah ibu bapa kita, adik-beradik kita serta saudara-mara kita untuk lakukan saringan kesihatan sekiranya mereka belum berbuat demikian.

“Sebagai contoh, ibu bapa kita yang tua di kampung, kita perlu terus nasihatkan mereka untuk terus mengamalkan pemakanan serta gaya hidup yang sihat. Pastikan juga mereka mengambil ubat secara tetap mengikut preskripsi doktor yang merawat,” katanya.

Dr Abdul Raqib juga menyebut, setakat ini tidak ada angka rasmi mengenai jumlah kes jantung terhenti mengejut di Malaysia kerana sukar menentukan sama ada pesakit itu meninggal dunia akibat gangguan irama jantung atau komplikasi penyakit jantung yang mereka hidapi terutamanya bagi pesakit luar.

“Bagaimanapun, kita ada data dari Jabatan Statistik Malaysia yang menyatakan pada tahun 2019, daripada 109,164 kematian yang disahkan secara perubatan, penyakit arteri koronari jantung kekal sebagai punca utama kematian, iaitu 15 peratus daripada semua punca kematian. Angka berkenaan kurang 0.6 peratus daripada tahun sebelumnya (2018).

“Kegagalan jantung, satu lagi faktor risiko yang penting, juga punca penting kemasukan ke hospital, merangkumi kira-kira 6 hingga 10 peratus daripada semua kemasukan ke hospital dan juga punca penting seseorang itu dimasukkan semula ke hospital di Malaysa,“ jelasnya.

HWD sebagai penyelamat

Menurut Dr Raqib, Hospital Serdang adalah satu-satunya pusat jantung di Malaysia, dan kedua di luar Amerika Syarikat, yang menggunakan Hospital Wearable Defibrillator (HWD) sebagai cara untuk membantu pesakit yang berhadapan dengan risiko jantung terhenti mengejut di hospital.

“HWD memberi perlindungan yang amat diperlukan kepada pesakit yang mungkin memerlukan terapi kardioversi elektrik jantung, apabila berlaku kegagalan irama jantung, apabila mereka dirawat di unit bukan kritikal. Rawatan segera atau terapi kejutan adalah penting bagi pesakit yang mengalami jantung terhenti mengejut kerana setiap minit yang terbuang meningkatkan risiko kematian sebanyak 10 peratus lagi.

“Di hospital awam Malaysia, kelulusan untuk mendapatkan pembiayaan untuk peranti defibrillator yang boleh menyelamatkan, mungkin mengambil masa, sehingga seminggu, justeru perlu ada langkah lain sementara mendapat kelulusan.

“Unit penjagaan kritikal baru-baru ini berada dalam keadaan genting akibat pandemik Covid-19, dan memberi kesan dari penjagaan untuk pesakit berisiko tinggi apabila mereka dipindahkan ke katil yang kurang kritikal. HWD menampung keadaan ini dan boleh memberi manfaat kepada pusat yang berhadapan dengan isu yang sama,” katanya.

Mengenai pesakit yang menggunakan HWD, Dr Raqib menjelaskan, mereka terdiri daripada pesakit yang berhadapan dengan kematian akibat jantung terhenti mengejut kerana, antaranya, kegagalan jantung yang teruk dan menunggu pemindahan jantung atau baru menjalani pembedahan pintasan atau prosedur Angioplasty koronari,” katanya, sambil menekankan setakat ini belum ada peranti yang dapat menangani kematian akibat jantung terhenti mengejut dan jadi ini satu manfaat besar penggunaan HWD.

Mendidik orang awam secara dalam talian

Sementara itu, Presiden Persatuan Jantung Kebangsaan Malaysia (NHAM), Professor Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad memberitahu Bernama, pasukannya dan AstraZeneca Malaysia berganding bahu melancarkan laman sesawang ‘Spotlight on Heart Failure’ yang dapat memberi penerangan tentang penyakit kritikal ini terutamanya pesakit yang berhadapan dengan risiko, mengenai tanda serta gejala, mengenal pasti risiko seseorang dan juga cara menguruskan kesihatan jantung mereka.

“Laman sesawang ini mempunyai inspirasi mahu memperkasakan rakyat Malaysia agar menjaga kesihatan jantung mereka dengan lebih baik. Ini dapat meningkatkan keadaan kesihatan fizikal dan ekonomi negara.

“Ia juga dibuat untuk memenuhi keperluan pesakit yang berhadapan dengan risiko dan sudah didiagnos. Laman sesawang ini menawarkan maklumat yang mudah difahami untuk membolehkan mereka menjaga keadaan jantung mereka dengan lebih baik. Antaranya termasuk Symptoms Recognition Quiz, Symptoms Checker, dan Risk Checker – semua dalam bentuk PDF yang boleh dimuat turun dan pesakit boleh membawanya apabila berjumpa dengan doktor mereka pada hari janji temu, ” katanya.

Dr Wan Azman yang juga Perunding Kanan Kardiolgi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) berkata, pengguna laman sesawang itu juga boleh merujuk kepada sumber interaktif dan melihat sendiri kesihatan mereka.

“Symptoms Recognition Quiz adalah untuk meningkat kesedaran mengenai gejala kegagalan jantung sementara Symptoms Checker pula alat interaktif untuk mengesan gejala dan bagaimana ia memberi kesan kepada kehidupan anda. Laporan ini boleh dimuat turun untuk kegunaan perundingan dengan doktor. Risk Checker adalah bahagian soal selidik mengenai kesihatan serta gaya hidup anda dan untuk melihat sama ada mempunyai risiko. Laporan ini juga boleh di muat turun untuk kegunaan perundingan dengan doktor anda.

“Terdapat juga sumber berbentuk video daripada pakar perubatan tempatan untuk orang awam yang membolehkan mereka mengetahui lebih lanjut mengenai kegagalan jantung. Mereka boleh layari www.spotlightonheartfailure.my dan membaca semua sumber yang ada secara dalam talian,” katanya.

Beliau turut menambah, Daftar The Malaysian Heart Failure (MyHF), yang dijangka diterbitkan oleh NHAM pada penghujung tahun ini, juga mendapati kadar kemasukan ke hospital, terutamanya bagi kes kemasukan semula untuk kegagalan jantung adalah tinggi.

“Ada banyak sebab untuk keadaan ini, antaranya tabiat pemakanan yang tidak sihat, gaya hidup yang sedentari dan sejarah keluarga komplikasi jantung. Kesemuanya ini menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan.

“Meskipun makanan bukan penyumbang utama paras kolesterol dalam darah ada, adalah terbaik jika anda elakkan makan daging merah dan makanan yang mengandungi lemak tepu dan lemak trans. Jika pun adalah biasa untuk mengambilnya sekali-sekala ketika musim perayaan, yang penting ambillah secara sederhana,” nasihat beliau. – BERNAMA

- Advertisement -