Aid4Palestine: PAS Terengganu sasar RM1.7 juta

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu mengajak seluruh masyarakat dan rakyat agar turut serta menyumbang bagi membantu dana Aid4Palestine yang dilancarkan di seluruh negara.

Pesuruhjayanya, Senator Dato’ Husain Awang berkata, tragedi yang menimpa rakyat Palestin merupakan suatu perkara paling mencabar umat Islam seluruh dunia.

Kata beliau, Palestin tidak menuntut pengorbanan nyawa bagi membela mereka tetapi cukup sekadar mengorbankan sebahagian dari harta untuk membantunya.

- Advertisement -

“Umat Islam di Palestin sedang ditindas, dibunuh. Inilah perkara yang paling mencabar kepada umat Islam di seluruh dunia.

“Mereka (Palestin) tidak mengharapkan pengorbanan nyawa kita tetapi mereka mengharap kita mengorbankan sebahagian daripada harta kita bagi membantu mereka di Palestin.

“Marilah sama-sama kita menyahut seruan sebagaimana diseru oleh PAS Pusat untuk mengorbankan sebahagian daripada harta kita, demi untuk memberi bantuan dan meringankan beban kepada saudara-saudara kita yang bermandi darah, yang mengorban diri mereka di Palestin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dana Aid4Palestine Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung secara Live HARAP TV, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Justeru, kata Dato’ Husain, orang ramai berpeluang menyumbang bagi dana Palestin itu yang mula dibuka dari 14 hingga 30 Mei ini.

Menurutnya, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) menyahut seruan PAS Pusat itu dengan Pelancaran Dana Terengganu Aid4Palestine.

“Kita buka peluang kepada orang ramai menyumbang dan akan berakhir pada 30 Mei depan.

“Setelah dua hari dilancarkan, kita telah berjaya mengutip dan mengumpul sehingga jam 10.39 minit malam ini sebanyak RM519,153.00 dan saya mengucapkan terima kasih kerana menyumbang.

“Saya yakin selepas ini akan ada lagi sumbangan yang lebih besar untuk dana Palestin sebagai sokongan moral dan solidariti umat islam di Terengganu,” jelasnya.

Pada majlis itu, seramai 14 orang pimpinan PAS Terengganu mengambil bahagian menyampaikan ucapannya termasuk tetamu khas yang juga pengasas Persatuan Cinta Gaza Malaysia (PCGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman. – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -