Thailand guna anjing kesan Covid-19

- Advertisement -

BANGKOK: Anjing pengesan berusia 14 bulan, Bravo dilihat menggoyang-goyangkan ekornya ketika berjalan ke sebuah bilik di Small Animal Hospital Universiti Chulalongkorn dan menghidu enam bekas yang terdapat di bilik itu.

Anjing jenis Labrador Retriever itu kemudiannya berhenti dan duduk di hadapan sebuah bekas sementara seorang pegawai lengkap memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) menanda bekas itu, menunjukkan Bravo telah mengesan bau peluh pesakit Covid-19.

- Advertisement -

Bravo adalah antara enam ekor Labrador Retriever yang dilatih oleh Fakulti Sains Veterinar Universiti Chulalongkorn untuk mengesan pesakit Covid-19, bergejala dan tanpa gejala, dengan ketepatan 94.8 peratus.

Pada masa ini, Bravo dan dua lagi Labrador Retrievers di Bangkok menjalani “latihan” mereka di fakulti dengan menyaring pelajar dan pensyarah di universiti, manakala tiga anjing yang lain menjalani latihan di selatan Thailand untuk mengesan pesakit Covid-19 di pintu masuk sempadan.

Penyelidik Fakulti Sains Veterinar Universiti Chulalongkorn Profesor Dr Kaywalee Chatdarong berkata kaedahnya murah, tidak invasif, cepat dan tepat dalam membezakan pesakit Covid-19 tanpa gejala dan bergejala dengan individu yang sihat.

Menurut beliau Bravo bekerja satu hingga dua jam pada waktu pagi dan sekurang-kurangnya satu jam pada sebelah petang di fakulti. “Seekor anjing hanya memerlukan satu hingga dua saat untuk mengesan virus. Setelah ia mengesan bau peluh pesakit Covid-19, anjing itu akan segera duduk.

“Tiga ekor anjing dapat menghidu sekitar 1,000 sampel sehari,” kata ketua pasukan penyelidik kepada Bernama.

Beliau menambah anjing itu akan bekerja di lapangan bulan depan.

Kaywalee berkata penyelidikan itu telah disahkan oleh Jawatankuasa Etika, Kementerian Kesihatan Awam dan Jawatankuasa Penjagaan dan Penggunaan Haiwan Institusi (IACUC) untuk memastikan bahawa tidak ada implikasi terhadap kesihatan dan kesejahteraan petugas dan anjing K9 yang terlibat.

Projek penyelidikan K9 Dogs Sniff Covid-19, sebuah kerjasama antara Universiti Chulalongkorn dan Chevron Thailand Exploration and Production Limited, adalah untuk melatih anjing untuk pengesanan bio dan menyaring pesakit Covid-19.

Anjing-anjing ini telah dilatih secara khusus untuk projek ini yang bermula pada November tahun lalu dengan melatih haiwan itu mengenalpasti bau peluh pesakit Covid-19 yang didiagnosis dan disahkan dengan kaedah RT-PCR dan individu yang sihat.

Pemerhatian oleh Bernama menunjukkan prosesnya memakan masa kurang dari 15 minit.

Sampel peluh dikutip dan kemudian dimasukkan ke dalam bekas. Kemudian, anjing berkenaan menghidunya di bilik yang berasingan.

Sehingga kini, anjing di seluruh dunia telah menjalani latihan khas untuk mengesan pesakit Covid-19 tanpa gejala. Kajian mengatakan ia dapat mengesan jangkitan walaupun pada tahap awal ketika ujian RT-PCR akan menunjukkan hasil negatif.

Pakistan, Chile, Finland dan UAE adalah antara negara yang menggunakan anjing pengesan untuk mengesan pesakit Covid-19.

Sementara itu, doktor haiwan yang pakar dalam penyakit berjangkit dan anggota pasukan penyelidikan fakulti Prof Madya Somporn Techangamsuwan berkata Labrador Retrievers dipilih kerana mereka jinak dan mempunyai deria bau yang luar biasa, 50 kali ganda lebih berbanding manusia.

“Ia dapat mengesan sebatian organik yang keluar menerusi peluh pesakit yang berbeza berbanding individu sihat.

“Oleh itu, penggunaan anjing pengesan bio akan melengkapkan pengimbas suhu semasa untuk mengesan lebih banyak pesakit Covid-19 tanpa gejala dengan ketepatan yang lebih tinggi.

“Namun, mereka yang dikesan perlu menjalani ujian Covid-19 RT-PCR untuk mengesahkan diagnosis,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -