Serang Palestin: Israel perlu dihadapkan ke ICC

KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) hari ini mahu Israel dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di atas pencerobohan serta serangan ganas tentera rejim berkenaan ke atas Masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza.

Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani lima ketua pemuda dari PN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Gerakan, mereka mahu peperangan, tindakan ketenteraan serta pembersihan etnik yang dilakukan ke atas  Palestin dihentikan serta merta.

Advertisement

Kesemua mereka juga menyeru pimpinan dan organisasi antarabangsa untuk bersama-sama mengecam dan mengutuk penindasan dan penjajahan yang dilakukan selain mendesak Israel dan Amerika Syarikat untuk berlaku jujur dan adil terhadap perjanjian untuk Palestin sebagai negara berdaulat berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967.

“(Kami) Bersetuju dengan pendirian yang diambil Kerajaan Malaysia yang menyokong penyelesaian yang adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau ‘Two-State Solution’ berdasarkan garis sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel,” kata kenyataan itu

Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua Pemuda PN Khairil Nizam Khirudin, Ketua Armada Bersatu Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ketua Pemuda STAR Rizal Johari, Ketua Pemuda SAPP Jamain Sarudin dan pemangku Ketua Pemuda Gerakan pusat Wong Chia Zhen.

Bagi membantu Palestin, Pemuda PN akan memainkan peranan serta menjalinkan kerjasama strategik dengan semua pihak bagi menyemarakkan usaha kempen #Aid4Palestine yang telah dilancarkan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu, yang mana hingga kini dilaporkan lebih 100 rakyat Palestin terkorban manakala beratus-ratus lagi cedera. – BERNAMA