Sasar 3 tahun untuk tunjuk pencapaian membanggakan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mensasarkan 3 tahun sebagai fasa pertama untuk menyerlahkan sesuatu pencapaian membanggakan dari pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional Kedah.

Menurutnya, dalam tempoh singkat ini beliau lebih fokus kepada menyelesaikan isu-isu asas keperluan rakyat ini antaranya masalah infrastruktur bekalan air yang usaha diselesaikan menjelang tempoh 3 tahun.

Beliau berkeudara secara siaran langsung dalam temubual yang diadakan dalam rancangan ‘Hello [email protected] sempena setahun pentadbirannya sebagai Menteri Besar, hari ini.

- Advertisement -

“Jadi saya yakin dalam tempoh 3 tahun ini, kita atasi masalah bekalan air bersih, kita atasi masalah kehilangan air terawat (NRW). Kita bina infrastruktur baru RM931 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di Kedah ini sedang proses, akan dimulakan bulan ini. 

“Dalam tempoh 2 tahun hingga 3 tahun, semua lima LRA (Loji Rawatan Air) baru ini akan siap, penjajaran paip baru akan dipasang. InsyaAllah isu bekalan air untuk domestik, untuk komersial dan industri akan dapat diselesaikan.

“Bila ada air ini, orang akan mai. Di banyak negeri di Semenanjung ini ataupun di Malaysia ini, benda utama yang dilihat oleh para pelabur ialah infrastruktur asas termasuk yang utama ialah bekalan air, yang kedua pengangkutan logistik.

“Saya rasa kita dapat selesai benda itu, lebih ramai orang akan datang,” ujarnya turut memberitahu menerima kemasukan pelaburan di luar senarai hingga melonjakkan angka besar kemasukan pelaburan ke negeri ini.

Terang beliau, masalah tersebut semakin dapat diatasi misalnya semasa kemarau baru-baru ini, daripada lebih 600,000 akaun di negeri Kedah, sekitar 1 peratus sahaja mengalami masalah berkaitan bekalan.

Namun katanya, media baharu telah menyebabkan gambaran mengenai masalah tersebut diberikan secara berlebihan dan beliau turut memberi contoh naik taraf pembinaan LRA Sungai Limau dan LRA Pelubang.

“(LRA) Sungai Limau itu di’upgrade’ daripada 18 MLD (juta liter sehari) kepada 40 MLD, termasuk jajaran 97 kilometer paip barulah. Masalah kita ini paip tak sampai, tekanan rendah. Bila kita upgrade jumlah air kapasiti yang dapat dirawat sehari itu dan jajaran paip baru ini, bekalan air akan sampailah insyaAllah

“Lima loji yang hendak bina itu yang paling besar ialah Pelubanglah. Pelubang ini akan selesai masalah di Kuala Kedah, di Alor Setar, di Sanglang, di Jerlun insyaAllah,” ujar beliau optimis. – HARAKAHDAILY 17/5/2021

- Advertisement -