‘OPERASI Menyelamat’ – itulah yang dapat dikatakan kepada tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ketika digalaskan tanggungjawab selaku Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).
Kerana kedudukan KFA ketika itu umpama ‘telur di hujung tanduk’, boleh sahaja terhumban ke Liga Premier.
Jika tidak kerana didedahkan oleh pihak luar, tiada siapa tahu betapa jatuhnya motivasi pasukan dan pemain sebagaimana rintihan yang dikongsikan dengan rakan pemain dari pasukan lain.
Akhirnya terbongkar hutang dan tunggakan gaji empat bulan serta pembayaran lain yang didiamkan.
Lebih memeritkan pemain, ketika saat itu seluruh negara terkekang oleh pelbagai sekatan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketika pengurusan diambil alih kurang setahun lalu, hutang ditinggalkan adalah lebih RM14 juta, tidak termasuk bayaran tertunggak yang berada dalam siasatan dan perbicaraan.
Dalam masa sama bergelut untuk lesen dan pendaftaran sebagai kelab (FC). Tetapi Presiden yang juga Menteri Besar bertegas tidak mahu menggunakan wang kerajaan.
Ianya mengejutkan, tetapi prinsipnya jelas iaitu kerana wang kerajaan adalah milik rakyat, sedang KFA sebagai persatuan sukan perlu memiliki kewangan sendiri sepertimana juga entiti sukan lain.
Namun, Sanusi mengatur ‘Misi Mustahil’ penuh sikap amanah. Batang tubuh dan reputasinya menjadi ‘cagaran’ mendapatkan kepercayaan pelbagai pihak.
Hasilnya, sehingga hujung tahun 2020, KFA dibawah pimpinannya berjaya menyelesaikan tunggakan gaji pemain serta hutang sebanyak RM10.6 juta dari jumlah semasa RM20.2 juta ketika itu.
Ia datang dari ‘kuasa’ rundingan dan keyakinan pihak-pihak terbabit kepada beliau.
Namun, beban ditanggung itu sewajarnya dapat dielak sekiranya kepimpinan pengurusan sebelum itu tidak melakukan pembaziran dan perundingan yang tidak profesional.
Nafas baharu diterajui Sanusi membawa cara pengurusan yang lebih kolektif berbanding ‘veto’ sebelumnya dan mengambil serius kebajikan para pemain, kakitangan dan pegawai.
Perbelanjaan diperlukan sekitar RM30 juta setahun melibatkan keseluruhan pasukan utama, belia, pasukan pembangunan futsal dan pantai, juga pentadbiran dan pengadil, serta penyertaan piala-piala dipertandingkan dalam dan luar negara termasuk juga Piala AFC.
Kini Kelab Bolasepak Kedah Darulaman (KDA FC) atau Lang Merah bersedia menongkah angin terbang lebih gagah.
IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 17/5/2021