Palestin: Sultan Kelantan sumbang RM300,000

KOTA BHARU: Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan peruntukan berjumlah RM300,000 sebagai tanda sokongan baginda terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Kurniaan itu sebagai menzahirkan tanda solidariti terhadap rakyat Palestin akibat kezaliman zionis Israel.

Kurniaan itu diserahkan melalui Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah).

Advertisement

Ia disampaikan Penglola Istana Di Raja Kelantan, Dato’ Tengku Azmi Tengku Jaafar kepada Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob hari ini.

Majlis penyerahan sumbangan itu disaksikan anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Setiausaha Sulit Kanan bagida, Dato’ Nik Shafriman Nik Hassan.

Menteri Besar Kelantan menjunjung kasih di atas ampuni perkenan Tuanku terhadap kurniaan tersebut.

“Kurniaan tersebut menunjukkan keprihatinan, kebersamaan serta solidariti Tuanku diatas situasi getir bumi Al-Aqsa sekarang,” katanya pada satu kenyataan.

Baru-baru ini kerajaan Kelantan menyumbang sebanyak RM100,000 melalui Tabung Serambi Mekah bagi membantu umat Islam di Palestin.

Turut menghulur sumbangan wakil-wakil rakyat PAS di Kelantan dengan memotong elaun bulanan mereka kepada Tabung Serambi Mekah. – HARAKAHDAILY 17/5/2021