Kronologi peralihan Kerajaan Negeri Kedah

Imbasan sempena setahun Kerajaan PN Kedah

- Advertisement -

PERGOLAKAN politik negara hingga menyebabkan berlaku perubahan kerajaan daripada koalisi Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada PKR, DAP, BERSATU dan PAN kepada Perikatan Nasional (PN). Ia terhasil dari kerjasama BERSATU, PAS, BN dan sebahagian PKR, serta GRS, STAR dan SAPP. Kesannya telah membawa sama perubahan kerajaan di peringkat negeri iaitu Johor, Perak dan Melaka, sedang Kedah paling kemudian berlaku perkara tersebut. Kronologi ini mengimbas kembali sejarah tersebut dalam melihat perjalanan politik dan pentadbiran yang berlangsung:

22 Februari 2020
Pengerusi PKR Kedah, Dato’ Johari Abdul yang juga ADUN Gurun menyifatkan perkhabaran bahawa BERSATU mahu keluar daripada PH sebagai spekulasi.

- Advertisement -

23 Februari 2020
Pengerusi PAN Kedah, Dato’ Dr Ismail Salleh yang juga Exco Kerajaan Negeri Kedah dan ADUN Alor Mengkudu berkata, pembentukan kerajaan baharu telah mengkhianati mandat rakyat dan berlaku kerana agenda peribadi pemimpin yang gelojoh kuasa.

24 Februari 2020
Exco Kerajaan Negeri Kedah, Encik Simon Ooi Tze Min memaklumkan urusan pentadbiran masih berjalan seperti biasa walaupun secara teknikal Kerajaan PH Kedah telah tumbang berikutan pengumuman BERSATU keluar daripada PH. ADUN Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat yang juga Ketua Penerangan PAS Kedah memberitahu, PAS walaupun mempunyai kerusi terbanyak DUN Kedah tetap menunggu arahan PAS Pusat.

25 Februari 2020
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir meminta semua pihak bersabar dan menyatakan bahawa beliau ada banyak perkara perlu dilakukannya untuk masa depan Kedah.

26 Februari 2020
Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew yang juga Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Derga menyatakan bahawa DAP terus menyokong Mukhriz sebagai Menteri Besar dan menyifatkan PAS bersama Umno cuba menimbulkan isu apabila menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad jika tiada pembabitan DAP dalam kerajaan.

27 Februari 2020
Dato’ Johari Abdul mencadangkan kerajaan campuran BERSATU dan PH di Kedah sebagai penyelesaian kemelut politik ketika ini. Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi menyatakan sokongan semua ADUN PAN kepada Mukhriz untuk terus kekal sebagai Menteri Besar.

28 Februari 2020
Mukhriz memaklumkan beliau kekal mendapat sokongan semua 18 ADUN PH dan BERSATU untuk kekal sebagai Menteri Besar dan mendapat perkenan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah. Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga ADUN Jeneri (PAS) menyifatkan sokongan ADUN PH dan BERSATU itu bersifat sementara dan tidak mampu bertahan kerana kesepakatan mereka tidak sejernih dahulu. Katanya, sebarang pertukaran kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah termasuk jawatan Menteri Besar tidak akan berlaku secara gopoh bagi menghormati amalan demokrasi di negara ini.

1 Mac 2020
PAS disebut-sebut banyak pihak bakal mengambil alih teraju pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah dengan memiliki 15 ADUN di sebalik kedudukan kerusi terkini PKR (7), BERSATU (6), PAN (4), DAP (2) dan BN (2). Ini setelah kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar tidak lagi kukuh setelah BERSATU membentuk perikatan baharu di peringkat Persekutuan. Sanusi turut memberi reaksi dengan menyatakan bahawa perubahan tersebut bakal berlaku.

2 Mac 2020
Tular poster empat ADUN daripada PAS yang dikatakan bakal menggantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar iaitu ADUN Jeneri, Muhammad Sanusi dan ADUN Tokai, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman serta ADUN Bayu, Nasir Idris dan ADUN Kuala Nerang, Mohammad Yusuf @ Munir Zakaria.

3 Mac 2020
Mukhriz menyatakan bahawa ADUN PH dan BERSATU yang berjumlah 19 kerusi bersama Speaker DUN Kedah menjadikan mereka masih majoriti tiga kerusi daripada pembangkang, sekali gus kekal sebagai Kerajaan Negeri Kedah. Beliau juga menyatakan kesediaan Kedah menjadi ‘negeri pembangkang’.

4 Mac 2020
Kerajaan Negeri Kedah bersetuju untuk melaksanakan pengecualian cukai perkhidmatan hotel kepada pelancong yang berkunjung ke Langkawi bagi tempoh enam bulan bermula hari ini. Mukhriz berkata inisiatif itu bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri Kedah khususnya di Langkawi yang mengalami penurunan kehadiran jumlah pelancong antarabangsa susulan COVID-19.

5 Mac 2020
Mukhriz menafikan bahawa Melayu dan Islam akan hilang identitinya jika berada di bawah pentadbiran PH. Berucap dalam himpunan 2,000 anggota jentera BERSATU beliau mengakui kedudukan parti itu dalam kerajaan seperti telur di hujung tanduk, namun sama sekali tidak akan menyerahkannya kepada PAS. PH dalam pada itu mengumumkan pelantikan Dato’ Johari Abdul selaku Pengerusi PH Kedah menggantikan Mukhriz. PKR, DAP dan PAN Kedah bagaimanapun mengumumkan sokongan kepada Mukhriz sebagai Menteri Besar.

6 Mac 2020
Dato’ Johari Abdul yakin ADUN PH dan BERSATU di negeri ini tidak akan bertukar parti untuk bersama Perikatan Nasional bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu walaupun berlaku pergolakan politik. Katanya, ADUN-ADUN PH dan BERSATU komited terhadap rakyat dari mandat diberikan PRU-14 lalu.

7 Mac 2020
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Ahli Parlimen Langkawi melahirkan rasa hairannya terhadap PAS. Katanya, PAS di Kedah boleh mengambil alih kerajaan tetapi masih membiarkannya diterajui oleh BERSATU. Beliau mengakui BERSATU berpecah kepada dua kumpulan sekali gus Kerajaan Negeri Kedah berada dalam keadaan ‘goyang’.

8 Mac 2020
Mukhriz menyatakan kebimbangan terhadap masa depan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) berikutan perubahan Kerajaan Persekutuan. Beliau berkata, telah melakukan yang terbaik, namun bimbang Kerajaan Persekutuan menolak atau tidak memberi tumpuan kepada projek berimpak tinggi.

11 Mac 2020
Muhammad Sanusi membayangkan akan berlaku pergerakan ADUN-ADUN negeri ini sepertimana bumi berganjak mengambil kedudukannya. Kata beliau, berlaku pergolakan politik dalaman Kerajaan Campuran PH dan BERSATU menyebabkan pentadbiran tidak menjadi lancar.

12 Mac 2020
Mukhriz menafikan Kerajaan Negeri Kedah tergugat biarpun pertukaran kerajaan berlaku. Ketua Penerangan Umno Kedah, Dato’ Suraya Yaacob yang juga ADUN Sungai Tiang berkata, pihaknya bersiap sedia dengan perubahan bakal berlaku. Bagaimanapun tegasnya, sebarang plot drama politik PH atau perubahan pentadbiran yang berlaku di negeri ini harus selaras dengan lunas Perlembagaan, legitimasi perundangan serta menitik beratkan kepentingan rakyat.

13 Mac 2020
Tersebar dakwaan bahawa beberapa ADUN BERSATU bakal mengubah sokongan dan nama Muhammad Sanusi disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar Kedah yang baru.

14 Mac 2020
Dato’ Dr Ismail Salleh mengumumkan bahawa kerajaan negeri menangguhkan semua program negeri berikutan perkembangan penularan pandemik COVID-19.

15 Mac 2020
Sanusi menegaskan bahawa PAS mengambil pendirian bertenang dan tidak mahu kelam kabut biarpun mempunyai majoriti ketika ini. Jelasnya, PAS tidak mahu gopoh mengubah kerajaan negeri dan tidak menjadi isu untuk kekal sebagai pembangkang demi kestabilan negeri dan pembelaan kepada rakyat.

16 Mac 2020
Mukhriz menafikan beliau diberi tempoh untuk membuat keputusan bagi menyokong PN dan tiada rundingan mengenai perkara itu antara Tun Dr Mahathir dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

17 Mac 2020
Mukhriz menyatakan kekesalannya kerana Kedah tidak dipanggil dalam Mesyuarat Khas bersama Ketua-Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Besar bagi menyelaras Perintah Kawalan Pergerakan antara negeri di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

19 Mac 2020
Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kedah Ke-14 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 26 Mac, ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan. Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, penangguhan itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani penularan COVID-19 yang dilaksanakan di seluruh negara hingga 31 Mac depan.

21 Mac 2020
Mukhriz mengumumkan peruntukan RM21 juta bagi membantu rakyat berikutan PKP yang diisytiharkan kerajaan di seluruh negara dalam membendung penularan COVID-19.

23 Mac 2020
Mukhriz mengumumkan bahawa kerajaan negeri memberi jaminan akan membayar penuh gaji pekerja kontrak dan Pekerja Sambilan Harian (PSH) walaupun mereka tidak dapat bekerja sepanjang tempoh PKP.

24 Mac 2020
Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengagihkan tambahan bekalan makanan sebanyak 57,600 kampit beras dan 172,800 tin sardin kepada semua 576 masjid di seluruh negeri ini berikutan PKP. Inisiatif ini tambahan kepada 17,280 set agihan bulanan sedia ada dan memberi manfaat kepada 74,880 keluarga. Turut diperuntukkan adalah RM360,000 bagi membeli tiga unit alat bantuan pernafasan (ventilator) kepada Hospital Sultanah Bahiyah. Sebelum ini Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin memperkenankan LZNK menyediakan peruntukan untuk agihan khas lebih RM7 juta bagi tujuan agihan segera dan persediaan menghadapi sebarang kemungkinan COVID-19.

25 Mac 2020
YAB Dato’ Seri Mukhriz mengumumkan bahawa kerajaan negeri memberi rebat 50 peratus untuk sewaan premis niaga pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini selama tiga bulan bagi membantu golongan terjejas akibat penularan COVID-19.

1 April 2020
Mukhriz umumkan tiada penganjuran Bazar Ramadan berikutan penularan COVID-19. Kerajaan negeri juga menangguhkan sewa Skim Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) selama enam bulan. Turut diumumkan peruntukan RM30,000 kepada ADUN pembangkang untuk membantu rakyat terkesan PKP.

5 April 2020
LZNK mengagihkan peruntukan tambahan bantuan bernilai RM9.7 juta kepada penduduk yang terjejas akibat PKP.

9 April 2020
Mukhriz menyatakan Kedah sebagai antara negeri paling berjaya mengawal COVID-19 apabila berada di kedudukan ke-13 antara negeri lain. Hospital negeri ini juga katanya tidak terbeban dengan jumlah pesakit. 

15 April 2020
Exco Kerajaan Negeri Kedah, Asmirol Anuar Aris yang juga ADUN Kubang Rotan memberitahu bahawa masalah pembayaran gaji pemain Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) adalah kesan pandemik COVID-19 di mana penaja menangguhkan bayaran sejak PKP. Katanya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) juga sepatutnya membantu kebajikan pemain semasa keadaan seperti ini.

16 April 2020
Sidang DUN Kedah hanya berlangsung selama 25 minit sebagai memenuhi syarat bagi mengelak implikasi pembubaran DUN secara automatik yang diadakan tanpa sebarang perbahasan. Pembubaran sedemikian boleh terjadi jika DUN tidak bersidang dalam tempoh enam bulan dari persidangan terakhir. Titah Sultan Kedah sempena sidang itu supaya kerajaan mempertingkatkan persediaan pasca COVID-19.

17 April 2020
Dato’ Ir Phahrolrazi selaku Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah (YAINK) memberi jaminan kebajikan 1,500 pelajarnya di Mesir dan 80 di Jordan akan diberi keutamaan termasuk memastikan keselamatan mereka sepanjang penularan wabak COVID-19 di luar negara.

21 April 2020
Isu keluarga miskin tinggal di rumah kotor dan usang di Lorong Gedebang, Mukim Derga, Alor Setar yang mendapat bantuan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Liew telah diperjelaskan situasi sebenar oleh Exco, Tan Kok Yew.

25 April 2020
Dato’ Seri Mukhriz menafikan dakwaan bahawa tindakan polis ke atas Ustaz Ebit Liew adalah kerana laporan daripada pihaknya.

1 Mei 2020
Dato’ Paduka Ammar menyarankan kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini untuk bekerja daripada rumah (WFH) berikutan situasi semasa penularan COVID-19.

4 Mei 2020
Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Robert Ling Kui Ee yang juga ADUN Sidam dari PKR mempertikaikan keputusan pemecatan Timbalannya di Cabang PKR Sungai Petani.

5 Mei 2020
Mukhriz mengumumkan pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri ini. Beliau juga mengumumkan bantuan ‘one off’ RM300 kepada 22,579 permohonan yang layak di mana boleh dibuat menerusi Pejabat Pusat Khidmat ADUN.

6 Mei 2020
Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya menyifatkan Dato’ Seri Mukhriz sudah terlalu lemah dan tidak sampai separuh ADUN BERSATU berpihak kepadanya. Katanya, Mukhriz melawan arus dengan membawa BERSATU di Kedah untuk terus menyokong PH. Beliau juga menyifatkan PH sudah tempang setelah kehilangan majoriti dan PAS dengan memiliki majoriti terbanyak bersedia menerajui Kerajaan Negeri Kedah. Bidasnya, kecelaruan iklim politik yang dipamerkan PH ini telah memberikan kesan negatif terhadap penumpuan memajukan negeri dan rakyat menerima tempias buruk akibat perbalahan pemimpin PH.

7 Mei 2020
Pengerusi Umno Kedah, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom mahu Kerajaan PN campur tangan kemelut politik di negeri Kedah kerana Kerajaan PH semakin retak di mana tidak lagi mampu menumpukan tenaga dan masa. Katanya, saling bercakaran dalam PH merugikan rakyat kesan ketidaktentuan politik itu.

9 Mei 2020
Naib Presiden PAN, Dato’ Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena percaya semua ADUN PH dan Exco Kerajaan Negeri berdiri teguh di belakang Dato’ Seri Mukhriz sebagai Menteri Besar. Bidasnya, PAS terlalu ghairah untuk mendapatkan kuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Takiyuddin Hassan bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Kedah, Dato’ Zainuddin Yaacob di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar.

10 Mei 2020
Semua 15 ADUN PAS dan dua ADUN Umno Kedah telah menghadiri pertemuan tertutup bersama Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan serta Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya dan Pengerusi Umno Kedah, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom. Menurut Dr Ahmad Samsuri calon Menteri Besar belum dimuktamadkan dan ianya terserah kepada Tuanku Sultan Kedah.

11 Mei 2020
Mukhriz mengadakan pertemuan bersama pimpinan PH Kedah. Dato’ Ir Phahrolrazi menggesa ADUN PH atau BERSATU yang mahu berpaling tadah supaya membuat kenyataan rasmi mengenainya. Katanya, pertukaran kerajaan negeri yang diura-urakan adalah spekulasi kerana pembangkang tidak mempunyai majoriti mencukupi.

12 Mei 2020
ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert mengisytiharkan keluar daripada PKR dan menjadi ADUN Bebas serta menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin. Muhammad Sanusi memaklumkan 23 ADUN Kedah telah hikang kepercayaan kepada Dato’ Seri Mukhriz. Selain ADUN PAS dan BN, mereka ialah dua bekas ADUN PKR dan empat ADUN BERSATU.

13 Mei 2020
Dato’ Seri Mukhriz menegaskan beliau masih Menteri Besar dan dakwaan kerajaan telah jatuh adalah tidak benar. Katanya, sebab itu beliau masih mempengerusikan Mesyuarat Exco. Beliau menggesa pihak pembangkang supaya mengusulkan undi tidak percaya dan mempertikaikan kenyataan Sanusi kerana tidak bersama 23 ADUN yang didakwa menolaknya. Dato’ Takiyuddin pula memaklumkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin telah mempersembahkan 23 akuan berkanun (SD) daripada ADUN-ADUN Kedah kepada Sultan Kedah di istana Baginda di Kuala Lumpur. Mukhriz menyatakan beliau telah dikhianati rakan-rakannya.

15 Mei 2020
Semua 36 ADUN Kedah telah mengadap Sultan Kedah.

16 Mei 2020
Majlis raptai angkat sumpah Menteri Besar diadakan dengan kehadiran ADUN Jeneri, Muhammad Sanusi.

17 Mei 2020
Muhammad Sanusi Md Nor sah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 dihadapan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Disediakan oleh:
IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 17/5/2021

- Advertisement -