Kedah terima pelaburan memberangsangkan setakat ini

Menteri Besar yakin Kedah setanding Lembah Klang dalam 10 tahun lagi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Usaha sedang dipacu untuk menuju Kedah 2035 Sejahtera & Berdaya Huni akan menerima pencapaian lebih banyak daripada yang disenaraikan, demikian diyakini Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, ia hasil ramuan keberanian membuat keputusan dan pelaksanaan yang cepat, serta sikap serius, telus, terbuka dan meraikan juga daripada kerjasama diberikan oleh para pegawai kerajaan negeri.

- Advertisement -

Sanusi bersiaran langsung dalam temubual yang diadakan dalam rancangan ‘Hello [email protected]’ sempena setahun pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kedah, hari ini.

Jelas beliau, hal tersebut menimbulkan keyakinan para pelabur untuk ke negeri ini misalnya projek Widad @Langkasuka di Langkawi dengan membawa pelaburan besar RM40 bilion yang tidak pernah diterima Kedah selama ini.

Juga maklumnya, Kedah menerima pelaburan bernilai RM1.3 bilion bagi pembinaan Litar Super Car Open Road Asia di Bukit Malut, serta kepada beberapa projek berimpak tinggi turut menerima tambahan pelaburan.

“Kita punya Northern Gateway di Bukit Kayu Hitam itu telah buat perjanjian dengan HartaLega sebuah konglomerat industri dalam pembuatan sarung tangan getah. Pelaburan dia pun sangat memberangsangkan sekitar RM7 bilion. Dah sign di MOF (Kementerian Kewangan) hari itu.

“Sekarang ini kita dalam proses untuk membina Logi Rawatan Air khusus untuk industri HartaLega ini bernilai RM400 juta di Kodiang. Dalam proses pengambilan balik tanah. Dan ini pun akan beri peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat Negeri Kedah.

“KXP (Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim) pun dalam proses pengambilan tanah. Kita sedang buat dengan syarikat swasta ECK Development akan tubuh SPV company dengan KXP Holding kita lantik untuk melaksanakan KXP. 

“SPV company ini akan depositkan 125 peratus anggaran kos tanah, 8,540 ekar di situ untuk kita buat pengambilan separuhnya untuk terminal airport, separuh lagi untuk kawasan industri,” jelasnya mahu menyegerakan projek itu.

Manakala Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) pula katanya, akan dibuka fasa kelima seluas 450 ekar dengan melibatkan kos RM500 juta bagi pengambilan balik tanah dan pembangunan infrastruktur di mana sebahagiannya sudah ditempah. 

Kerancakan pelaburan tambahnya, turut diterima Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap dengan fasa satu sudah selesai RM60 juta untuk buat kerja-kerja tanah dan pembangunan infra elektrik dan air akan disegerakan. 

“Ini TNB (Tenaga Nasional Berhad) akan usahakan walaupun jadual satu dia boleh ambil masa sampai 5 tahun. Depa dah janji dengan kita untuk buat dalam tempoh 2 tahun, alhamdulillah.

“Semua orang di Kedah ini semua pihak, semua agensi, semua jabatan, semua yang bertanggungjawab ini telah memberi kerjasama yang sangat memberangsangkan kepada kerajaan untuk kita capai projek-projek berimpak tinggi ini,” ujarnya.

Kedah juga menurutnya, dengan tanah sawah padi MADA seluas 109,000 hentar menjamin dari sudut ‘food security’,selain tanah pertanian yang mengeluarkan sayur dan buah-buahan.

Semua ini yakini Sanusi, akan menjadi ‘catalyst’ ataupun pembangkin kepada kemajuan ataupun kebangkitan negeri Kedah Darul Aman sebagai sebuah negeri yang kuat dari segi ekonomi.

“Anak-anak Kedah yang duduk jauh-jauh boleh balik bekerja di Kedah, boleh duduk dekat dengan mak dan ayah, boleh bina keluarga di sini, boleh bina kehidupan di sini. Alangkah bahagianya kalau kita dapat duduk dan cari makan di mana tempat kita dilahirkan. 

“Ini semua benda-benda yang tak dapatlah diukur dengan number, dengan angka. Tetapi semua ini akan menjadi satu proses untuk kita bangunkan Kedah dan orang-orang Kedah untuk menjadi negeri maju dalam konteks kita sendiri. 

“Yang saya rasa lebih boleh pergi lebih jauh daripada Lembah Klang,” ujarnya meyakini kedudukan strategik Kedah juga bakal memperlihatkan negeri ini setanding Lembah Klang pada 10 tahun akan datang. – HARAKAHDAILY 17/5/2021

- Advertisement -