‘Cordoba of Kedah’ gambaran rakyat Kedah di masa depan

- Advertisement -

TAPAK yang sedang dipasak teguhkan dari pemerintahan “Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua” meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras terpentingnya. Masa depan yang sedang dicipta dan dilakarkan kepimpinan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor ini mahu melahirkan rakyat dengan berpewatakan holistik. Untuk itu, gagasan perdana Cordoba of Kedah (CoK) telah dikemukakan beliau dengan cita-cita besar setiap batang tubuh rakyat negeri ini terbangun integrasi ilmu. 

Bukan sahaja nanti menjadi insan yang bertauhid dan bermoral tinggi, tetapi juga pada bakat dan kompetensi serta kepakaran. Di mana akan kembali menyumbangkan kepada kemakmuran negeri dan kehidupan bermasyarakat di bumi hijau kuning ini. Tanggungjawab ini kini dipikul di bawah Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Dato’ Brig Jen (B) Ustaz Najmi Ahmad.

- Advertisement -

Bara semangat gagasan ini dihidupkan Sanusi dari sejarah lampau Cordoba di Andalusia yang walaupun dijarah Sepanyol, namun tandanya subur mekar di Eropah mustahil diselindungkan. Malah, di situlah titik kemodenan mewarna ke kanvas ketamadunan dunia yang dinikmati kepesatan dan kegemilangannya hingga hari ini.

CoK dihasrat akan melahirkan generasi unggul yang dirinya menyumbang sendiri dalam mewujudkan penyatuan, kestabilan dan kemajuan negeri Kedah. Pelaksanaannya meletakkan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kuala Ketil sebagai hub utama dan pelantar bersama kepada semua Pusat Kecemerlangan Ilmu (PKI).

UniSHAMS dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Merbok dan Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok akan membentuk Segitiga Rantau CoK. Lalu ruang penglibatan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain seperti AIMST University, Al-Bukhary International University (AIU), Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dijemput sama dalam gagasan ini. 

Ini akan memastikan CoK membumi ke seluruh pelusuk negeri, secara menghimpun dan memberdayakan bersama Rakan Pintar CoK meliputi semua sekolah, pra-sekolah dan taman asuhan, pondok dan madrasah, Sekolah Agama Rakyat, masjid dan surau serta pengajian umumi. Sanusi pernah menyatakan:

“Saya seboleh-bolehnya putaran kemiskinan itu tidak merangkum orang lain pula masuk ke dalam itu. Pendidikanlah yang akan mengeluarkan daripada itu semua. Jadi, fokus besar di Kedah ini selain daripada menjayakan projek-projek berimpak tinggi untuk mendatangkan ‘spill over economy’ kepada orang ramai, (saya mahu) beri sebanyak mungkin peluang pendidikan. Kalau ada orang miskin tak dapat sekolah, ini benda yang patut (berlaku. Kita semua paling kena sensitif (perkara ini). Anak-anak patut pergi sekolah, dan ibu bapa patut ada keupayaan untuk menghantar anak dia menerima pendidikan. Ini ‘basic’ dia. Hanya dengan pendidikanlah baru kita boleh keluar daripada orang panggil putaran ganas kemiskinan ini. Kena keluar. Dan pendidikanlah harta ataupun modal untuk kita keluar daripada ‘circle’ itu. Ini fokus kerajaan sekarang.”

Menerusi gagasan ini, pelaksanaannya membuka ruang kepada semua rakyat Kedah dari teduhan ilmu masyarakat dengan cara dimudahkan atau diberi peluang melanjutkan pengajian hingga ke IPT. Begitu juga sebaliknya, ilmu dan kepakaran dari IPT pula akan disemai ke akar umbi kehidupan rakyat.

Pemindahan ilmu dan saling melengkapi antara sesama institusi dan sesama lapisan rakyat (takaful) secara komplementari ini akan membangkitkan kekuatan penuh gagah, sekali gus membuang sikap bersaing yang menimbulkan kerencaman dan masalah. Malah diyakini, pada aspek pendanaan dan operasi akan lebih terjamin dan mudah.

Hebatnya, idea CoK ini selari dan melengkapkan perancangan besar pembangunan telah sedia didokumenkan untuk memacu masa depan negeri ini seperti yang terdapat di dalam pelan ‘Kedah 2035 – Sejahtera dan Berdaya Huni’.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 17/5/2021

- Advertisement -