Aid4Palestine: PAS Kedah kumpul lebih RM645,500

Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali
- Advertisement -

PADANG SERAI: Sejak dilancarkan 14 Mei Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM100,000 bagi mengisi tabung kempen Aid4Palestine.

Ketuanya, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, kemungkinan jumlah itu akan bertambah menjelang tarikh serahan esok.

“Terima kasih kepada semua termasuk Dewan Muslimat PAS kawasan-kawasan, jawatankuasa Dewan Muslimat Negeri Kedah serta pihak persendirian yang menyumbang untuk membantu misi kemanusiaan Palestin,” ujarnya di sini.

- Advertisement -

Beliau juga berbangga dengan sikap yang ditunjukkan muslimat berlumba-lumba membuat kebaikan untuk membantu rakyat Palestin yang kini diancam regim Zionis Israel.

Menurutnya sumbangan itu sebagai tanda kebersamaan umat Islam di Kedah bersama rakyat Palestin.

“Kita tidak dapat membantu mereka di medan perang sebaliknya dengan menyalurkan bantuan kewangan.

“Ketika umat Islam bergembira menyambut hari raya, rakyat Palestin pula terpaksa berhadapan kekejaman Israel. Harta benda dimusnah dan ramai yang terbunuh termasuk kanak-kanak,” katanya.

Beliau yang juga anggota Exco Kerajaan negeri berharap matlamat RM1 juta yang disasarkan PAS Kedah untuk fasa pertama menjadi kenyataan.

“Kita tak boleh balik raya di kampung. Tak boleh rentas daerah, negeri dan tak boleh kunjung-mengunjung. Jadi duit boleh disalur kepada Aid4Palestine,” sambung Adun Merbau Pulas.

Ashah juga berharap sumbangan tersebut dapat membantu pejuang di Palestin yang bermati-matian mempertahankan Masjid Al-Aqsa.

Sumbangan boleh disalur kepada akaun 02011010006905 (BIMB) atas nama Tetuan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, reference (Palestine).

PAS Kedah melancarkan derma jihad pada 14 Mei lalu bagi membantu umat Islam di Palestin. Sehingga hari ini sebanyak RM645,508 berjaya dikumpul.

Sumbangan itu akan diserah pada satu majlis bertempat di Kompleks PAS Kedah esok.

Manakala dalam perkembangan berkaitan bidaan kenderaan volvo milik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mendapat tawaran tertinggi iaitu RM75,100.

Namun keputusan muktamad akan diperolehi sehingga tarikh tutup esok. Bidaan kenderaan Volvo S60 (2010) yang dibeli pada 2018 dengan harga RM55,000 akan terus dimasuk ke tabung Aid4Palestine. – HARAKAHDAILY 17/5/2021

- Advertisement -