Wanita MN berdiri teguh bersama rakyat Palestin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Wanita Muafakat Nasional (MN) turut berdiri teguh bersama rakyat dan kerajaan Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka dan Masjidil Aqsa.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Wanita Umno Malaysia, Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad berkata, rakyat negara itu sanggup mempertahankan kedaulatan negara Palestin daripada dijarah zionis Israel laknatulah.

Katanya Zionis Israel sebenarnya sengaja mencari bala dengan menyerang Syeikh Jarah dan mengacau pertempatan tersebut serta menghalau penduduk Islam yang mendiami sejak bertahun-tahun.

- Advertisement -

“Mereka juga membekalkan senjata kepada rakyat Israel yang menjadi pendatang kepada kawasan tersebut.

“Apa yang mereka tidak tahu penduduk Baitul Muqaddis merupakan manusia yang Allah bekalkan dengan hati dan jiwa yang kental serta sanggup melakukan apa sahaja yang mereka mampu untuk mempertahankan bumi Palestin biarpun dengan tangan kosong.

“Apa yang menjadi kebanggaan dan memangkin semangat kebangkitan Palestin ialah sokongan padu rakyat Arab di sekitar Palestin biarpun kerajaan masing-masing membisu dan gagal menyatakan sokongan,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Tindak tanduk umat Islam di Palestin bertepatan dengan Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Akan tetap ada satu kumpulan dalam kalangan umatku yang bangkit dengan gagah perkasa menegakkan kebenaran daripada Allah. Mereka tidak boleh dilunturkan semangat oleh orang-orang yang mengecewakan mereka.” Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka, wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab, “Mereka ialah penduduk Baitul Maqdis dan sekeliling Baitul Maqdis.” (Riwayat Ahmad).

Wanita MN berkata, mereka ingin bersama dalam perjuangan membebaskan Palestin dengan tenaga dan harta benda.

“Kerana sesungguhnya kami percaya dengan ayat al Quran yang bermaksud: Dan apakah yang menghalang kalian (maka kalian) tidak mahu berperang di jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas daripada kaum lelaki, perempuan, dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir Musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (daripada ancaman musuh).’” (Surah al-Nisa’: 75)

“Kami menyeru rakyat Malaysia seluruhnya bersatu hati dalam mendukung perjuangan Palestin dengan harta dan usaha apa yang kita mampu.

“Sesungguhnya perjuangan memastikan Palestin bebas daripada Israel bukan sahaja perjuangan rakyat Palestin malah ia perjuangan semua umat Islam di dunia ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2021

- Advertisement -