Palestin: SUHAKAM harap bantuan kemanusiaan diberi keutamaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berharap bantuan kemanusiaan diberi keutamaan dalam semua situasi kecemasan di Palestin, dan langkah-langkah tegas diambil bagi melindungi nyawa rakyat negara itu.

Dalam satu kenyataan hari ini SUHAKAM berkata serangan ganas keatas pejabat media di Palestin juga harus dihentikan segera demi menjaga kebebasan media, dan SUHAKAM sangat bimbang dengan situasi hak asasi manusia serta aspek kemanusiaan yang semakin kritikal di Palestin.

- Advertisement -

Menurut kenyataan itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet menggesa supaya undang-undang antarabangsa dihormati, di samping meminta semua pihak supaya mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan ketegangan yang kelihatan semakin membimbangkan di Israel dan Wilayah Palestin yang diduduki.

“Piagam PBB dengan jelas menyatakan bahwa ancaman atau penggunaan kekuatan terhadap negara-negara lain adalah tidak sah, dan menurut Artikel 2 (4) – semua anggota harus menahan, dalam hubungan antarabangsa mereka, daripada mengancam atau menggunakan kekuatan terhadap integriti wilayah atau kebebasan politik mana-mana negara, atau dengan cara lain yang tidak sesuai dengan tujuan PBB,” menurut kenyataan itu.

Senada dengan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terdahulu, kenyataan itu menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk segera meminta supaya semua bentuk keganasan yang dilakukan oleh Israel dihentikan, dan usaha harus dilakukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

Rejim Zionis Israel sebelum ini dilaporkan menceroboh dan menyerang rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei lepas, dan disusuli dengan serangan udara di semenanjung Gaza sejak Isnin.

Sementara itu Ahli Parlimen pembangkang dari pelbagai parti negara ini berkata Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan parlimen serantau digesa supaya menerima resolusi bagi mengutuk keganasan Israel, menghentikan serangan dan menjaga keselamatan serta nyawa dan hak golongan yang tidak berdosa, terutama rakyat Palestin.

Ia merupakan antara 10 tuntutan oleh anggota parlimen pembangkang yang dikemukan dalam satu kenyataan, di samping meminta kerajaan mengutuk keras keganasan dan penindasan Israel terhadap hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri, keadilan dan kebebasan, dengan mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan PBB untuk mengambil tindakan yang bermakna bagi melindungi rakyat Palestin.

Menurut kenyataan itu, kerajaan sebagai penyokong kuat keadilan dan perdamaian demi perjuangan rakyat Palestin, harus bersedia untuk menghantar utusan damai ke Gaza.

Mereka turut meminta Munyiddin supaya segera menasihati Yang Di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) untuk memanggil sesi Parlimen tergempar bagi meluluskan usul untuk mengutuk Israel dan mengutarakan cadangan-cadangan di Dewan Rakyat.

“Ini mesti menunjukkan sokongan bipartisan yang kuat oleh semua pihak tanpa mengira parti. Ahli Parlimen mesti bertindak untuk mendedahkan kekejaman Israel dengan memberi tekanan kepada parlimen dan kerajaan tertentu untuk menamatkan semua kerjasama perdagangan dan ketenteraan (pendanaan tentera dalam kes Amerika Syarikat) dengan Israel apartheid, dan rejim penindasan yang serupa di seluruh dunia,” katanya.

Mereka turut menggesa supaya dikenakan sekatan terhadap semua barang dan perkhidmatan syarikat-syarikat yang beroperasi di kawasan penempatan yang diduduki secara haram oleh Israel, di samping menggesa siasatan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). – BERNAMA

- Advertisement -