KDN pandang serius ancaman keselamatan oleh Israel

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan oleh Israel terhadap pemimpin-pemimpin pergerakan perjuangan Palestin yang berada di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, KDN juga mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini.

Advertisement

Sehubungan itu, katanya pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi-agensi keselamatan lain telah meningkatkan kawalan keselamatan dari semua aspek bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di dalam negara.

“Justeru, saya menyeru orang ramai untuk bertenang kerana keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau menambah, Kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin.

Memetik laporan Agensi, kepimpinan Israel didakwa mengarahkan ejen perisikan negara itu, Shin Bet dan Mossad untuk membunuh pegawai tertinggi Hamas di dalam dan luar negara.

Portal warnews247.gr melaporkan, menurut maklumat yang disiarkan oleh televisyen Israel, ejen perisikan itu akan menyerang negara seperti Iran, Turki, Qatar dan Malaysia yang memberi penempatan, membiayai dan melatih pegawai Hamas. – HARAKAHDAILY 16/5/2021