KUALA LUMPUR: Semua kumpulan di Palestin bersatu tanpa mengira fahaman politik yang terdiri daripada masyarakat Islam dan Kristian bergandingan bahu menghadapi pencerobohan zionis yang ganas.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pencerobohan yang tidak syak lagi itu direstui kuasa-kuasa besar dunia yang membekalkan segala jenis senjata kepada Israel.
Katanya, pembekalan senjata itu diberikan sejak mula pengiktirafan pada awal penubuhannya lagi secara bertali arus, termasuk senjata pemusnah yang diharamkan undang-undang antarabangsa.
Menurutnya Israel dilindungi dan mendapat kedudukan imuniti dari segi undang-undang antarabangsa, mendapat perlindungan keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta dilindungi kuasa veto, yakni kuasa-kuasa besar Barat secara khusus.
“Walaupun dalam suasana itu mereka berebut kononnya untuk mencari perdamaian, tetapi mereka hakikatnya berpura-pura, berlakon, dan berwayang di sebalik mendukung kerajaan yang ganas dan zalim itu.
“Mereka membunuh rakyat Palestin tanpa mengira lelaki, perempuan, orang tua, mahu pun kanak-kanak serta menceroboh rumah-rumah ibadat, masjid, dan gereja dengan semangat ideologi Zionisme yang paling fanatik,” katanya ketika berucap melancarkan kempen #Aid4Palestine malam tadi.
Beliau yang juga Presiden PAS berkata. ideologi itu juga yang menubuhkan negara Israel dan berjaya melantik pemimpin-pemimpin Israel sejak mula ditubuhkan sehingga hari ini.
Itulah kata beliau tokoh-tokoh yang dilatih oleh Zionis dengan berbagai-bagai pendekatan untuk menegakkan empayar Yahudi fanatik bagi menguasai seluruh dunia.
Menurutnya perkara itu menjadi rancangan gerakan Freemason, diikuti perkembangannya oleh gerakan zionis yang dapat menguasai politik-politik negara kuasa besar dunia.
“Puak-puak mereka dapat menguasai media, pertubuhan, dan ekonomi antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan PBB dan Bank Dunia (World Bank). Dengan penguasaan ini, mereka menggunakan berbagai-bagai cara.
“Sepatutnya dalam suasana seperti ini, kita mendukung kebangkitan rakyat Palestin yang sudah bersatu, bukan sahaja di Gaza, bahkan di seluruh Palestin.
“Bukan sahaja di Tebing Barat, malah termasuk di negara haram Israel. Orang-orang Arab Palestin daripada Muslim dan Kristian sama-sama bangkit,” ujarnya.
Beliau juga berkata, kita sangat gembira kerana rakyat-rakyat Arab di sekeliling Palestin mendukung dengan semangat yang kuat, tidak lemah sepertimana kerajaan-kerajaan mereka. – HARAKAHDAILY 16/5/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!