HAMAS adalah pejuang bukan militan

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menegaskan bahawa HAMAS bukan militan sebaliknya pejuang berteraskan Islam.

Beliau berkata, mereka yakin dengan kemenangan yang dijanjikan Allah, sehingga semangat jihad mereka tidak pernah padam dalam menentang negara haram Israel.

“Jika kita merasa duduk sebentar di Palestin, dan dikunjungi tentera Israel yang menghalau kita daripada rumah sendiri, membunuh anak kecil kita yang tidak berdosa di depan mata, dan memenjarakan bapa kita bertahun lamanya tanpa berita, nescaya kita tidak akan mampu menggelar HAMAS sebagai militan,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Advertisement

Menurutnya, militan adalah satu gelaran yang diberikan oleh kerajaan Amerika Syarikat kepada para pejuang Palestin.

Tambahnya, sedangkan pembelaan HAMAS terhadap kesengsaraan rakyat Palestin, tidak terbanding dengan keganasan tentera Israel yang jauh lebih dahsyat.

Katanya lagi, HAMAS ditubuhkan oleh Syeikh Ahmad Yassin, enggan menjual negara Palestin melalui perjanjian dan rundingan yang hanya menguntungkan sebelah pihak.

“Mereka memilih untuk menentang penjajah melalui aspek ekonomi, politik, sosial, termasuklah ketenteraan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Beliau menambah, oleh kerana pengaruh HAMAS yang sangat besar dalam membangkitkan semangat menentang Yahudi yang berteraskan agama dalam kalangan rakyat Palestin, mereka dilihat sebagai ancaman terbesar, seterusnya dilabel sebagai militan dan pengganas.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengamal media tempatan supaya jangan mudah terperangkap dengan naratif yang dibawa oleh media-media antarabangsa.

“HAMAS bukan militan. Mereka adalah pejuang berteraskan Islam, yang yakin dengan kemenangan yang dijanjikan Allah, sehingga semangat jihad mereka tidak pernah padam dalam menentang negara haram Israel,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 16/5/2021