Gabungan besar umat Islam sepatutnya Palestin menang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Cerita dan perjuangan rakyat Palestin untuk mendapat pembebasan tanah air dan Masjid al Aqsa daripada cengkaman zionis Yahudi sejak 1948 perlu diterapkan dalam diri kanak-kanak seawal usia dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan ‘nafas’ perjuangan yang tidak diketahui penghujungnya itu terus digerakkan oleh rakyat.

Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang aman damai dapat berperanan untuk membantu negara Islam lain yang mengalami kesusahan dengan semangat keprihatinan serta kesedaran terhadap perjuangan tersebut.

- Advertisement -

“Kita perlu mengambil inisiatif yang jauh lebih besar, dengan usaha mengumpulkan sumbangan, tetapi akhirnya kita perlu pergi lebih jauh daripada itu untuk memastikan isu Palestin masuk dalam sanubari setiap anak-anak kita.

“Kita mahu memastikan semangat dan roh perjuangan rakyat Palestin juga merupakan sebahagian nafas kita yang perlu pastikan agar ia dapat diteruskan,” kata pada majlis pelancaran kempen Aid4Palestin malam tadi.

Lebih 90 NGO menyertai kempen kutipan sumbangan kepada Palestin itu, dilancarkan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Muhammad Nadir berkata, kini sudah tiba masanya masyarakat Malaysia untuk muhasabah diri masing-masing, sejauh mana penghayatan isu perjuangan rakyat Palestin benar-benar meresap ke dalam kalbu setiap mereka.

Beliau berkata, sokongan rakyat Malaysia terhadap Palestin tidak pernah padam, malah dengan sokongan NGO, semangat itu semakin mekar untuk bersolidariti bersama rakyat yang dizalimi.

“Adakah kesakitan dan kepedihan yang sedang dilalui oleh rakyat Palestin benar-benar diterjemahkan dalam kehidupan kita kerana saya membayangkan dengan gabungan yang begitu besar sepatutnya sudah lama Palestin menang.

“Sepatutnya mereka tidak lagi memerlukan bantuan kita, sudah lama kuasa Yahudi zionis yang zalim dapat ditumbangkan, jadi pada peluang ini kita muhasabah kerana saya wakili Palestin di bumi Gaza.

“Adakah selepas media massa dan media sosial tidak lagi menceritakan mengenai anak-anak syuhada, mujahidin dan ibu tunggal yang lahir kerana kekejaman itu, maka kita melupakan isu ini dan terus tenggelam,” katanya.

Beliau kini merupakan wakil rakyat Malaysia yang menetap di Gaza sejak beberapa tahun lalu menubuhkan NGO, Cinta Gaza Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang tertindas zionis. – HARAKAHDAILY 16/5/2021

- Advertisement -