Covid-19 jadikan tugas para guru lebih mencabar

KUALA LUMPUR: Tiada kata dapat mengungkap besarnya jasa guru dalam membina sebuah masyarakat, negara dan dunia, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih di atas kesungguhan para guru di semua peringkat yang tidak pernah lesu dalam menyampaikan ilmu dan membentuk peribadi generasi baharu.

“Tidak hairanlah apabila para ulama amat menekankan tentang penghormatan dan kemuliaan kepada guru kerana mereka adalah pelita kepada ummah,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini sempena sambutan Hari Guru.

Advertisement

Beliau memetik hadis Rasulullah SAW Riwayat Muslim yang bermaksud: Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.

Menurutnya, penularan wabak Covid-19 menjadikan tugas para guru lebih mencabar kerana perlu meneroka pelbagai cara untuk menjadikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berjalan lancar.

Namun, ujar beliau cabaran demi cabaran tidak melunturkan jiwa warga pendidik untuk terus mendidik generasi masa depan.

“Semoga Allah SWT membalas segala jasa dan pengorbanan para guru dengan balasan yang terbaik,” katanya lagi.

Tema Hari Guru pada tahun ini ialah ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’. – HARAKAHDAILY 16/5/2021