Zionis Israel takut lancar serangan darat – TG Abdul Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menang kalah sesuatu perperangan bukan ditentukan melalui perperangan udara, tetapi perperangan darat, kata Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, kejayaan Palestin membalas serangan Zionis Israel secara bertubi-tubi dan bertali arus adalah sesuatu perkara yang baharu dalam perperangan antara pemilik tanah Palestin dan penceroboh itu.

- Advertisement -

Bahkan, serangan yang dilancarkan Palestin hanyalah serangan udara, bukan serangan darat.

Malah katanya, beliau melihat Zionis Israel teragak-agak, takut dan gentar untuk melancarkan serangan darat kemungkinan bimbang terperangkap di dalam kecanggihan senjata Palestin.

“(Kita lihat) apa yang berlaku ialah serangan udara secara bertubi-tubi dan bertali arus dan dibalas oleh Palestin. ‘Smooth’ kepada Palestin menggunakan senjata yang diberi (kepada) mereka, melancarkan serangan balas ke dalam Israel.

“(Itu) apa yang tidak dapat dibuat selama ini. Ini adalah serangan udara sahaja, yang menjadi penentu kepada peperangan menang dan kalah ialah perperangan darat. Kita menunggu perperangan darat bila (akan) berlaku.

“Kita nampak bagaimana Israel teragak-agak dan takut untuk melancarkan serangan darat, mereka takut terperangkap dengan senjata yang canggih, yang dipunyai oleh Palestin, belum lagi Iran, Turki yang ada di Syria, Lubnan, belum lagi. Yang ada di Palestin, mereka sudah tidak boleh mengatasi.

“Apa yang disebut (dimaksudkan) ialah sistem pertahanan kubah besi (iron dome) untuk melindungi Israel daripada serangan roket, ditembusi oleh serangan-serangan Palestin dengan senjata yang canggih,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Pelancaran Kempen #Aid4Palestine yang diadakan secara maya, malam ini.

Tambah Presiden PAS itu, dengan kejayaan yang diperoleh Palestin dalam menentang Zionis Israel ketika ini, kemungkinan besar akan berlaku usaha Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa besar dunia memujuk negara-negara Islam dan Arab menggenjat senjata.

Kononnya genjatan senjata tersebut adalah untuk berdamai, sedangkan agenda sebenar adalah untuk menyelamatkan Zionis Israel, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

“Dengan sebab itu kemungkinan besar berlaku usaha genjatan senjata, oleh Amerika dan kuasa-kuasa besar dunia (untuk) mempengaruhi negara-negara Islam, negara Arab supaya menerima genjatan senjata, tujuannya bukan untuk mendamai, untuk selamatkan Israel yang ganas.

“Usaha sedang dijalankan sekarang, kita mengharapkan supaya kemenangan itu dapat ditingkatkan lagi dari semasa ke semasa, supaya kita dapat menunjukkan (bahawa) Islam adalah suatu kekuatan ummah, yang mesti ditegakkan,” katanya lagi.

Beliau di akhir ucapan menyeru rakyat Malaysia membantu mengikut kemampuan serta berdoa untuk Palestin yang sedang menentang musuh paling besar umat Islam, iaitu Zionis Israel. – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -