Zionis Israel ditentang sejak Persekutuan Tanah Melayu

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia pernah memainkan peranan yang sangat berani dalam menentang Zionis Israel sejak awal penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, kata Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj ketika itu berani menjemput Mufti Palestin, Syeikh Mohammed Amin al-Hussaini untuk datang dan berucap dalam Musabaqah al-Quran pertama yang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Jelasnya, ketika itu, Syeikh Mohammed Amin al-Hussaini dan pemimpin gerakan Palestin diharamkan oleh negara-negara Barat daripada mendapat visa untuk melawat seluruh dunia kerana tidak mendukung Berikat yang mempunyai Zionis dalamnya ketika Perang Dunia Kedua.

- Advertisement -

“Tindakan Syeikh Amin al-Hussaini yang tidak mendukung Berikat menyebabkan beliau sudah disekat pergerakannya.

“Namun, ketika Musabaqah al-Quran yang pertama pada tahun 1960, saya masih ingat lagi walaupun masih remaja, Almarhum Syeikh Amin al-Hussaini dijemput oleh Kerajaan Malaysia untuk datang ke Malaysia dan berucap dalam Musabaqah al-Quran yang pertama itu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

“Ini merupakan pengiktirafan beliau (Almarhum Tunku Abdul Rahman) terhadap perjuangan Palestin.

“Pada masa itu, belum ada lagi Fatah, Hamas, Tanzim Jihad, dan Palestine Liberation Organization (PLO). Alhamdulillah, hari ini, tumbuhnya gerakan-gerakan Palestin yang bercambah dengan banyak di Palestin dan semua gerakan ini menentang Israel (walaupun) mereka berpecah dari segi pendekatan dengan sebab pengaruh politik di sekeliling mereka,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Pelancaran Kempen #Aid4Palestine yang diadakan secara maya, malam ini. – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -