Tahniah BAM atas prinsip dan solidariti kemanusiaan

- Advertisement -

MELALUI penelitian rapat senarai peserta yang bakal menyertai kejohanan badminton Celcom Axiata Malaysia Open 2021 di laman web rasmi Badminton World Federation (BWF), DACS Malaysia mendapati bahawa pemain dari negara haram Israel turut diundi untuk menyertai kejohanan ini.

Kita semua tahu bahawa semua kejohanan badminton Antarabangsa adalah di bawah kelolaan BWF yang mana mereka diberikan autoriti untuk membuat undian pemain berdasarkan Main & Qualifying (M&Q) Report yang sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.

- Advertisement -

Justeru, DACS Malaysia mencadangkan agar pihak BAM mengusulkan kepada pihak BWF untuk menarik semula penyertaan para pemain dari negara haram Israel atas dasar tanggungjawab dan solidariti terhadap isu kemanusiaan yang berlaku di Palestin dari dahulu sehingga kini.

Sesungguhnya, Israel tidak pernah diiktiraf sebagai salah sebuah negara kerana Israel ditubuhkan secara haram melalui rampasan tanah daripada penduduk Palestin bagi mengotakan Perjanjian Balfour yang melibatkan British dan Yahudi Zionis.

DACS Malaysia mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana cukup tegas dan berprinsip dengan polisi negara kita yang tidak meluluskan penyertaan para pemain dari negara haram Israel atas dasar prinsip dan sensitiviti yang sama.

Di samping itu, DACS Malaysia turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama menyokong penarikan semula penyertaan para peserta Israel dalam kejohanan ini supaya tidak ada kelibat atlet mereka menjejakkan kaki ke bumi Malaysia bagi mewakili negara haram berkenaan.

Akhir sekali, marilah kita sama-sama mendoakan agar umat Islam di Palestin terus diberikan kekuatan, ketabahan, kesabaran dan kemenangan dalam menghadapi rejim Zionis Israel yang melakukan pembantaian secara besar-besaran terhadap rakyat Palestin ketika ini.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

HAFEZ SABRI
Pengarah Department of Arts,
Culture and Sports (DACS)
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -