Premis PAS diwajib pasang bendera Palestin

KOTA BHARU: Semua premis milik PAS diwajib memasang bendera Palestin sebagai sokongan terhadap perjuangan umat Islam di negara tersebut yang kini berdepan dengan kezaliman berterusan tentera zionis.

Selain itu PAS juga menggerakkan kempen bagi mengutip Tabung Palestin #Aid4Palestine yang dikendalikan di bawah Lajnah Antarabangsa PAS Pusat.

Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, kempen kesedaran itu diambil kira sebagai menyahut hasrat Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk bersolidariti bersama rakyat Palestin.

Advertisement

Katanya, kutipan dana melalui kaedah crowdfunding menyasarkan kutipan minimum sebanyak RM1 juta.

“Oleh itu Perhubungan PAS negeri-negeri, Wilayah Persekutuan, kawasan dan cawangan hendaklah mengambil tindakan segera bagi menjayakan kempen tersebut,” katanya pada surat edaran kepada Pesuruhjaya PAS Negeri-negeri semalam.

Sumbangan boleh disalur kepada Tabung PASRelief melalui akaun Maybank – 564070614481 atau boleh juga hubungi talian hot line PASRelief 011 20775 802 atau 013 3845 555.

Kelmarin PAS melancar ‘Sekretariat #Aid4Palestine’ yang diketuai Pengerusi Lajnah Antarbangsa PAS Pusat Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan kerjasama lebih 40 NGO.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu sekretariat itu ditubuh hasil perbincangan khas pada 30 Ramadan melibatkan beberapa tokoh masyarakat dan pemimpin NGO.

Ia bertujuan untuk mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membantu perjuangan Palestin.

Sekretariat terbabit akan berfungsi sebagai koordinator jaringan NGO dan masyarakat sivil bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

Selain itu menyelaras kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah crowdfunding dengan sasaran bantuan RM1 juta yang akan disalurkan terus ke bumi Palestin. – HARAKAHDAILY 15/5/2021