Muslimat, NGO redakan hiba tujuh anak yatim

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Hari Raya Aidil Fitri tujuh anak yatim hampir sahaja suram, namun inisiatif Muslimat PAS Cawangan Beserah Tengah dan Pertubuhan Cakna Hal Ehwal Wanita (Helwa Care) telah sedikit menceriakan mereka.

- Advertisement -

Manakan tidak, mereka baharu lima bulan kematian bapa dan saat ibu mereka mencari jalan cuba menyara keluarga itu dengan memulakan perniagaan makanan Ramadan lalu, anak yang sulung pula ditimpa musibah.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, usaha si ibu Siti Aidilfitri Ramli, 42 yang dibantu Muhammad Irfan Danial Muhamad Ridzuan, 18, tergendala setelah anaknya itu mengalami melecur keseluruhan sebelah kaki kanannya.

Dalam keadaan masih kepiluan setelah kehilangan tonggak keluarga dan tiada punca pendapatan, keadaan Irfan yang terlantar tidak dapat berjalan untuk menguruskan diri selama sebulan itu memang menjejaskan keluarga ini.

“Alhamdulillah dengan sikap prihatin Muslimat PAS Beserah Tengah dan bantuan yang diberi iaitu kerusi roda, tongkat dan tandas kerusi roda untuk pesakit, sangat-sangat meringankan saya untuk menguruskan anak saya.

“Saya sangat bersyukur bila hari raya menjelang tiba, pakaian baju raya untuk anak-anak dan diri saya sendiri telah diusahakan oleh Muslimat PAS bersama Helwa Care,” katanya dengan rasa terharu.

Ketua Muslimat Beserah Tengah, Habsah Ali bersama Ahli Jawatankuasanya telah membawa keluarga ini untuk membuat pemilihan membeli pakaian hari raya ke kedai Sakan Balok Kuantan, di sini dua hari sebelum Aidil Fitri.

Menurut Habsah, kegirangan anak-anak yatim ini terserlah di wajah mereka ketika itu bersesuaian dengan hadis Rasulullah S.A.W yang menganjurkan untuk menyantuni anak yatim di mana kelak akan berada dekat bersama Baginda di syurga.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota, Salwani Salleh yang juga Pengerusi Helwa Care Kuantan, melahirkan rasa terharu dan bersyukur berjaya melaksanakan tanggungjawab sosial dan kemanusiaan itu.

“Bantuan ini berjaya dilaksanakan hasil dari sumbangan orang ramai sama ada melalui Muslimat PAS dan NGO Helwa Care Kuantan yang begitu prihatin terhadap mereka.

“Menggembirakan hati anak-anak ini sangat dituntut dalam Islam terutama yang baru kehilangan bapa dan terputus punca pendapatan katanya lagi,” katanya.

Sumbangan duit raya dan keperluan keluarga telah disampaikan oleh isteri ADUN Beserah, Nor Azni Wahab ketika aktiviti ‘shopping’ raya tersebut. – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -