Muslimat hargai dedikasi tugas sempena Hari Jururawat

- Advertisement -

PEKAN: Sempena meraikan Hari Jururawat yang disambut pada 12 Mei setiap tahun, Dewan Muslimat PAS Kawasan Pekan turut tidak melepaskan peluang menyantuni petugas barisan hadapan ini di Hospital Pekan, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Ziarah yang bertujuan menghargai pengorbanan ‘frontliners‘ ini dimulakan sehari lebih awal sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di seluruh negara iaitu pada 12 Mei dan juga bagi memanfaatkan 10 hari terakhir bulan Ramadan.

Menurut Ketua Muslimat PAS Pekan, Ustazah Rohana Mohamad, pengorbanan masa dan tenaga yang tinggi melayakkan jururawat untuk dihargai dan memberi nilai cukup bermakna untuk disambut pada setiap tahun.

“Mereka telah banyak berkorban masa dan tenaga demi melihat rakyat Malaysia bebas daripada pandemik COVID-19. Diharapkan Allah mengganjari setiap titik peluh pengorbanan yang dikeluarkan dengan balasan syurga,” ujar beliau.

Beliau yang mengetuai ziarah ini, turut ditemani oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Pekan, Siti Hawa Mohamed bersama beberapa Ahli Jawatankuasa Muslimat Cawangan (JMC) Sepekan Jaya dan Pekan Baru.

Siti Hawa berkata, pemberian kek dan kuih bahulu ini diharapkan dapat memberi sedikit kegembiraan kepada jururawat menjelang sambutan hari raya.

Sementara itu, Penyelia Jururawat, Noor Anita Abdul Rani, menzahirkan kegembiraannya kerana merasakan dihargai apabila Muslimat PAS Pekan sudi hadir memberi sumbangan kepada semua jururawat di Hospital Pekan.

Manakala di DUN Pulau Manis pula, Timbalan Ketua Muslimat, Jamilah Chu telah mengetuai ziarah di Klinik Kesihatan Jaya Gading yang turut dihadiri Pengarah Jentera Pilihanraya Muslimat PAS Pekan, Rosnah Wook, Ketua Muslimat Jaya Gading, Noorlela Abdul Razak dan Ahli JMC Jaya Gading, Asmah Mat Nor.

Menurut Jamilah, sumbangan ini merupakan tanda ingatan dan penghargaan terhadap jasa yang telah dicurahkan oleh para jururawat dalam memastikan kesihatan rakyat Malaysia terjaga. – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -