Mendamba rahmat kelayakan ke syurga

- Advertisement -

PERBINCANGAN ini mengenai kita. Manusia yang Allah ciptakan bersama amanah berat untuk dilaksanakan. Seperti dalam Surah Az Zariyat ayat 56 yang bermaksud:

- Advertisement -

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Apakah orang seperti kita layak masuk syurga? Sedangkan bukan semua dalam kalangan kita ahli ilmu agama, kita bukan seorang ustaz atau ustazah dan kita bukan ahli ibadah yang sentiasa memenuhi masanya dengan amalan-amalan zikrullah. Kita juga bukan pendakwah yang sentiasa menyebarkan ilmunya di ruangan-ruangan surau dan masjid. Bila dibayangkan semua ini, serasa tidak layaknya kita masuk syurga. 

Tapi kita mesti ingat tiada orang masuk syurga dengan amalannya tetapi dia masuk syurga kerana Rahmat dari Allah S.W.T. Seperti dari Hadis Nabi S.A.W dari Jabir R.A, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, yang maksudnya:

“Amal soleh kamu tidaklah memasukkan kamu ke dalam syurga dan tidak pula menjauhkan dari api neraka, tidak pula aku, kecuali dengan rahmat dari Allah S.W.T.”

(Hadis Riwayat Muslim no 2817)

Tetapi ada juga orang mengatakan masuk syurga itu sangat mudah. Ternyata tidak susah seperti susahnya kita menguruskan hal dunia kita. Adakah ini benar? Allah S.W.T sahaja yang Maha Mengetahui.

Muadz bin Jabar seorang Sahabat Rasulullah S.A.W yang paling faham mengenai halal dan haram dalam syariat Islam: 

“Pernah suatu hari Rasulullah S.A.W pernah bertanya kepada Muadz R.A, “Apakah anda tahu apa hak yang wajib ditunaikan oleh Allah S.W.T apabila ia (Hamba) menunaikannya?” Muaz menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.” Kata Rasulullah S.A.W, “Hak hamba atas Allah S.W.T bahawa Allah S.W.T tidak mengazab mereka ketika mereka menunaikan hak Allah S.W.T.””

(Hadis Shahih Riwayat Bukhari)

Muadz Sahabat Nabi yang Nabi S.A.W utus ke wilayah Yaman. Di sana ia bertugas sebagai penguasa, hakim agung sekali gus menjadi pengajar dan pengumpul zakat. Di ketika Muadz naik ke tunggangannya dan kakinya telah menyentuh pelana untaNabi mengingatkannya yang maksudnya:

“Boleh jadi engkau tidak lagi akan menemuiku setelah tahun ini. Semoga engkau dapat menziarahi ke masjidku ini dan di kuburku.”

Muadz datang kepada Nabi untuk bertanya. Seperti kita juga harus menjumpai para ulamak, kepada orang-orang yang alim, orang berilmu mengenai sebarang permasalahan yang kita hadapi. Mungkin mereka dapat memberikan kita solusi, memberikan pandangan agar kita dapat melaksanakan sesuatu dengan lebih baik dan terkeluar dari permasalahan yang sedang kita hadapi. Selalu yang banyak persoalannya adalah hal dunia:

“Muadz bin Jabal berkata, “Saya pernah bersama Rasulullah S.A.W dalam satu perjalanan, suatu pagi aku menghampirinya. Muadz bertanya Rasulullah S.A.W (Mengenai sesuatu yang lebih baik dari dunia dan isinya), “Beritahukan kepadaku mengenai suatu amal yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka.”

“Rasulullah S.A.W menjawab, ”Kamu telah menanyakan kepadaku mengenai perkara yang besar, padahal sungguh ia merupakan perkara ringan bagi orang yang telah Allah S.W.T jadikan ringan baginya. Iaitu kamu menyembah Allah S.W.T dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, berhaji ke Baitullah”.”

Setelah mendengar jawapan dari Hadis Nabi ini, duduklah bersendirian sebentar bermuhasabah diri. Bertanyalah kepada diri, adakah aku layak masuk syurga Allah S.W.T? Dan kita mesti sentiasa ingat bahawa yang pertama-tamanya kita mestilah seorang Muslim, yang berikrar tiada Tuhan lain yang kita sembah selain dari Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W itu utusan Allah S.W.T. Lalu setiap apa sahaja yang kita lakukan mestilah kerana Allah S.W.T. Inilah kunci amalan kita diterima Allah S.W.T dan mendapat rahmat di sisi-Nya.

Allah S.W.T perintahkan dirikan solat dengan sempurna mengikut rukun, sunat dan syarat sahnya. Dan keluarkan zakat, berikan zakat itu mengikut asnafnya. Ramai orang yang kaya raya susah hendak keluarkan zakat. Para alim ulamak harus memberi penerangan dan penjelasan mengenai isu zakat ini melalui ceramah-ceramahnya, melalui menyebaran pamplet-pamplet, seminar-seminar dan lain-lain penerangan melalui media sosial.

Allah S.W.T perintahkan berpuasa. Puasa ini untuk Allah S.W.T dan Allah S.W.T sendiri yang akan memberikan ganjarannya. Pelbagai amalan yang boleh dilakukan di sepanjang Ramadan, seperti menghidupkan malam dengan solat tarawih, qiamulail dan membaca al-Quran dan memahaminya, tadarus, bersedekah, memberi makan pada orang yang berpuasa, berzikir dan macam-macam lagi amalan terbaik:

“Diriwayatkan oleh Bukhari (1761) dan Muslim (1946) dari Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda, “Allah berfirman, ‘Semua amal anak Adam untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya’”. ”

Allah S.W.T perintahkan menunaikan haji kepada yang mampu. Para ulamak mengatakan mampu ini, mempunyai wang mencukupi untuk membayar kos menunaikan haji dan mempunyai bekal wang mencukupi untuk perbelanjaan makanan dan lain-lain di Makkah dan Madinah dan wang mencukupi untuk perbelanjaan tanggungan yang ditinggalkan. Kalau semua ini dah ada, maka kalian wajib untuk menunaikan haji. Ini perintah Allah S.W.T. Ingat penegasan Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud:

“…. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

Sambungan dari Hadis Nabi S.A.W di atas mengenai pertanyaan Muadz mengenai amalan yang memasukkan ke dalam syurga dan menjauhkan dari neraka…:

Dan Rasulullah S.A.W mengatakan kepada Muadz bin Jabal, “Mahukah kamu Aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai, sedekah dapat menghapuskan kesalahan seperti air yang memadamkan api, dan solat malam.” 

“Kemudian Beliau membaca surah As Sajdah ayat 16 hingga 17 (Yang bermaksud, “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.”

““Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.”

“Lalu Beliau bersabda, “Mahukah kamu Aku beritahu pangkal agama, tiang dan puncak tertingginya?” Aku menjawab, “Mahu Ya Rasulullah.” Beliau bersabda, “Pangkal agama adalah Islam, tiangnya adalah solat dan puncak tertingginya adalah jihad.” Lalu Beliau bersabda lagi, “Mahukah kalian Ku beritahu apa kendali semua itu?” Aku menjawab, “Mahu Ya Rasulullah S.A.W.” Beliau menyentuh lidahnya seraya bersabda, “Jagalah ini!” Wahai Nabi Allah, apakah kita akan diseksa kerana perkataan kita?” Beliau bersabda, “Hus, bukankah kebanyakan orang yang dicampakkan ke neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan akibat dari apa yang lidah mereka (ucapkan).””

(Hadis Riwayat Tirmizi. Dia berkata, ‘Hadis ini Hasan Shahih.’)

Dalam Hadis di atas, ketika Nabi S.A.W menyatakan antara pintu kebaikan itu adalah puasa. Puasa itu perisai. Manusia perlukan puasa membenteng dirinya dari syahwat dan nafsunya dan meningkatkan darjatmu di sisi Allah S.W.T. Jadi tambah puasa yang wajib itu dengan puasa sunat. Tanpa puasa, kita merasai tidak ada sesuatu yang dapat mengawal atau mengikat kita. Dengan berpuasa, kita akan menjaga sedaya upaya anggota kita daripada melakukan perkara yang sia-sia.

Dan Nabi S.A.W menyatakan kepada Muadz bahawa manusia itu tidak lepas dari dosa. Jadi di ketika kalian banyak berbuat dosa, perbanyakkan sedekah kerana ia dapat menghapuskan dosa. Memang kita disuruh ketika bersedekah, mengharapkan Allah S.W.T akan mengampunkan dosa-dosa kita dan ini memang janji Allah S.W.T. Tidak hilang yang kita sedekahkan malah Allah S.W.T lipat gandakan pulangannya:

“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”

(al Baqarah: 245)

Kalau kita melakukan dosa, ikuti dengan kebaikan. Hati kita perlu dijaga, jangan sampai dosa itu menutupi hati kita kerana kita biarkan terus diri kita dalam berbuat dosa, bertangguh-tangguh memohonkan keampunan Allah S.W.T. Sebab ada orang hatinya sudah tertutup dengan dosa-dosa itu dan langsung tidak mampu lagi untuk bertaubat. Jadi kena segera menghilangkan dosa-dosa itu dengan segera bersedekah:

“Daripada Abu Dzar, dia berkata, Rasulullah berkata kepadaku yang maksudnya, “Bertakwalah kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan, ikutilah kejahatan (Dosa) dengan kebaikan yang akan menghapuskannya. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak terpuji”.”

(Hadis Riwayat Tirmizi no 1987)

Dan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 133 yang bermaksud:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”

Tadi Nabi membicarakan mengenai puasa wajib lalu puasa sunnah, zakat yang wajib lalu Nabi membicarakan pula mengenai sedekah sunnah dan akhirnya Nabi S.A.W mengatakan mengenai solat malam yang sunnah seseorang di malam hari. Inilah tiga pintu kebaikan lalu beliau membaca firman Allah S.W.T dalam surah Sajdah ayat 16 mengatakan keutamaan seorang Mukmin adalah solat malam menjauhkan diri dari tempat tidur.

Nasihat Jibril kepada Nabi S.A.W, ketahuilah keutamaan seorang Mukmin itu adalah bangun malam. Nilai atau kehormatan seorang Mukmin itu dengan tidak meminta-minta pada orang malah berkongsi dengan orang. Seorang Mukmin berusaha biar tangannya di atas tapi ketika tangan ada di bawah, kalian terima sahaja apa yang orang beri sebab engkau bukan meminta-minta dan sekiranya kalian tidak memerlukannya, kalian berkongsi dengan orang lain. Inilah kehormatan seorang Mukmin. Dan Nabi mengajarkannya seperti dalam Hadis di atas, Nabi mengajarkan mengenai puasa, sedekah dan qiamullail.

Kalau kalian ingin dihormati dan ingin martabat yang tinggi, maka bangunlah solat malam, qiamullail. Bukan mengharapkan, dimuliakan dan dihomati melalui jawatan, pangkat, glamour dan sebagainya.

Pada suatu ketika ada orang ramai berkumpul di Baghdad. Ibu Harun al Rasyid, melihat dari beranda istana anaknya dan bertanya kenapa ada ramai orang berkumpul? Dia diberitahu ada seorang ulamak baru datang bernama Abdullah bin Mubarak. Orang ramai mahu belajar dengannya. Ketika Ibu Harun Ar Rasyid melihat ramainya penduduk Baghdad menyambut Abdullah bin Mubarak lalu dia mengatakan, ‘Inilah yang dikatakan kemuliaan dan inilah yang dikatakan kehormatan, bukan seperti kehormatan anakku dan kemuliaan anakku yang dia dihormati mungkin kerana dia mempunyai kekuasaan, dia mempunyai tentera, pengawal-pengawal, pemberita-pemberita dan sebagainya. Tetapi ini Abdullah bin Mubarak tidak punya apa-apa kebesaran tetapi dia dihormati dan dimuliakan kerana beliau seorang ilmuan ahli fiqih dan Hadis, seorang kaya yang dermawan, zuhud dan sangat pemberani dalam jihad.’

Begitulah Nabi, Baginda sentiasa memberikan nasihat kepada Sahabat-sahabatnya sebagai tanda cinta dan kasih sayangnya. Cinta Rasulullah kepada Muadz di antaranya diakui oleh Muadz sendiri di dalam Hadisnya yang maksudnya:

“Dari Muadz bin Jabal R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W mengambil tangannya, lalu bersabda, “Hai Muadz, demi Allah!, sesungguhnya aku mencintaimu.” Setelah mengatakan demikian, Rasulullah S.A.W bersabda kembali, “Aku berpesan kepadamu wahai Muadz, “Jangan sampai kamu meninggalkan setiap selesai melaksanakan solat supaya membaca, ‘Allahumma a’inni ‘ala dzikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatik’ yang maksudnya Ya Allah, semoga Engkau memberi pertolongan kepada kami untuk sentiasa ingat kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah yang baik kepada-Mu.”

(Sunan Abu Daud)

Dalam Hadis di atas juga Rasulullah S.A.W mengingatkan agama yang diterima dan diredhai di sisi Allah S.W.T adalah cuma agama Islam. Ini harus difahami oleh setiap Muslim. Agama yang benar cuma Islam, yang lainnya semua salah:

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam…” 

(ali-Imran: 19)

Dan Surah Al Maidah ayat 3 yang bermaksud:

“…Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…”

Dan Nabi S.A.W sudah pesankan jagalah lidahmu. Setiap apa yang kita ucapkan, dua malaikat di kiri kanan kita akan mencatat dan menyimpannya. Aturan Allah S.W.T sangat dahsyat. Mungkin orang yang kita umpat, fitnah dan keji, tidak mendengar tetapi Allah ada catatannya. Nabi mengatakan orang tersungkur ke neraka adalah disebabkan oleh percakapan mereka.

Jadi bila kita tanya, adakah orang seperti kita ini layak masuk syurga? Hanya Allah S.W.T sahaja yang Maha Mengetahui.

Jangan bayangkan yang syurga ini hanya untuk ustaz dan ulamak. Tidak! Syurga adalah untuk orang-orang yang bertakwa. Siapa sahaja kalian, kalian layak masuk syurga asalkan kalian bertakwa:

“Hadis riwayat Imam Bukhari bahawa suatu ketika ada seorang Sahabat yang menyampaikan kepada Rasulullah S.A.W mengenai seorang wanita yang ahli ibadah tetapi suka menyakiti tetangganya, “Wahai Rasulullah ada seorang wanita yang rajin solat malam, suka berpuasa di siang hari, suka melakukan amal kebajikan dan banyak bersedekah. Namun dia sering menyakiti tetangganya dengan lisannya.”

“Mendengar laporan ini, Nabi S.A.W menjawab, “Tiada kebaikan padanya dan dia termasuk penghuni neraka.” Dalam riwayat lain disebutkan bahawa para Sahabat bertanya kepada Nabi S.A.W mengenai penyebabnya, “Kenapa?” tanya salah seorang Sahabat.

“Nabi S.A.W menjawab, “Sebab mulutnya selalu menyakiti orang lain. Dia suka mengganggu tetangganya dengan ucapannya. Seluruh amal ibadahnya hancur, kerana dia punya akhlak yang buruk. Dia menjadi ahli neraka kerana ibadahnya tidak mampu menjadikan dirinya untuk berakhlak yang baik.”

“Kemudian seorang Sahabat menyampaikan lagi, “Wahai Rasulullah, ada seorang wanita yang hanya melaksanakan solat wajib saja dan hanya bersedekah dengan sepotong keju namun dia tidak pernah menyakiti tetangganya.”

“Nabi S.A.W menjawab, “Dia termasuk penghuni syurga.””

Jadi jelas dari Hadis di atas bahawa dapat diketahui syarat untuk masuk syurga bukan dengan memperbanyakkan ibadah sahaja tetapi membanyakkan melakukan kebajikan atau kebaikan kepada orang terdekat di sekeliling kita dan jangan menyakiti mereka dengan lidah kita. Jadi Nabi S.A.W telah ingatkan kita untuk jaga lisan atau lidah kita untuk ke syurga.

Mengenai mudahnya masuk syurga, seorang perempuan pelacur hanya memberi minum seekor anjing yang kehausan, dimasukkan ke syurga. Sedangkan seorang perempuan ahli ibadah, disebabkan seekor kucing, dimasukkan ke neraka. Kenapa?

“Rasulullah S.A.W menceritakan mengenai kisah seorang wanita dan anjing yang diriwayatkan oleh Bukhari. Dari Abu Hurairah R.A dari Rasulullah bersabda, “Telah diampuni seorang wanita penzina yang lalu di depan anjing yang menjulurkan lidahnya pada sebuah perigi kehausan. Dia berkata, “Anjing ini hampir mati kehausan.” Lalu ditanggalkan kasutnya lalu diikatnya dengan selendangnya lalu diceduk air dan diberikan minum pada anjing tersebut. Maka diampuni wanita itu kerana memberi minum anjing .”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Kuatnya perjuangannya untuk mendapatkan air di padang pasir yang terik dalam dia kehausan. Ketika sudah hilang hausnya, dia ternampak seekor anjing terjelir lidahnya kehausan. Dia ceduk air dengan kasutnya dan memberi minum pada anjing tersebut di tempat yang tiada manusia yang melihat. Tiada sebab dia untuk riak atau membanggakan diri. Kerana keikhlasannya, Allah S.W.T ampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.

“Dari Abu Hurairah R.A, ia berkata, “Seorang lelaki berkata, ‘Wahai Rasulullah S.A.W, ada seorang perempuan yang terkenal dengan banyak melaksanakan solat, puasa dan sedekah tetapi ia menyakiti jiranya dengan lisanya.” Beliau bersabda, “Ia di neraka,” Laki-laki itu berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya ada seorang perempuan yang terkenal sedikit puasa, sedekah dan solatnya. Ia hanya sedekah dengan sepotong keju, tetapi ia tidak menyakiti tetangganya dengan lisannya.’ Maka Beliau bersabda, “Ia di syurga.” 

(Hadis Riwayat Ahmad)

Dengan demikian, dua kisah perempuan dalam Hadis di atas sangat penting sekali untuk kita renungkan. Betapa pentingnya kita berakhlak terbaik dengan Allah S.W.T dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya di samping kita berbudi bahasa dan berakhlak terpuji sesama manusia. Inilah di antara jaminan dari Rasulullah S.A.W untuk memasukkan kita ke syurga.

Jadi Nabi sentiasa suruh kita berdoa seperti dalam surah al Baqarah ayat 286 yang bermaksud:

“…(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah…” 

Ada yang mengatakan bahawa wanita lebih mudah masuk syurga dari orang lelaki. Orang perempuan tidak disuruh berjemaah di masjid, tidak solat Jumaat, tidak ada jihad fisabillillah tapi semuanya itu ada untuk lelaki kecuali di dalam situasi ada jaminan keselamatan dan keperluan ke atas wanita untuk melaksanakannya.

Rasulullah S.A.W telah merangkumi kunci pintu syurga Muslimah dalam empat perkara:

“Abdul Rahman bin Auf berkata, ”Rasulullah S.A.W bersabda, “Jika seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa pada bulannya, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, nescaya dia masuk syurga dari pintu mana sahaja yang dia inginkan”.”

(Hadis Riwayat Ahmad, Hadis Hasan)

Menjaga solatnya bermaksud, seseorang tidak meremehkan dan melambat-lambatkan mendirikan solat. Jangan biarkan ibadah solat dilalaikan kerana kesibukan hidup, bekerja, memasak, menguruskan rumah tangga, menguruskan anak-anak dan suami, serta sibuk dengan kegiatan lainnya.

Allah S.W.T berfirman maksudnya:

“Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.”

(al-Munaafiquun: 9)

Berpuasa bermaksud seorang muslimah juga wajib qadha’ puasa Ramadannya jangan sampai Ramadan berikutnya belum meng-qadha’nya sebab sering terlupa atau terlalai kerana kesibukan hidup. Maka akan gagal meraih kunci pintu syurga.

Syurga hanya boleh diraih dengan kesolehan atau amal soleh. Hanya wanita solehah yang akan masuk syurga, iaitu dengan menjaga kehormatan dirinya dan hak suaminya dengan taat serta patuh kepada suaminya. Setiap kali dipanggil bersegera datang:

“…Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya…”

(an-Nisaa’: 34)

Hak seorang suami sangat besar. Bagi wanita, suaminyalah syurga atau nerakanya.

Antara amalan-amalan yang memasukkan ke syurga

Daripada Ibn Mas’ud R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Syurga lebih dekat kepada kamu berbanding tali yang ada di kasut, begitu juga neraka.”

(Sahih al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan mudahnya untuk kita masuk syurga, sebagaimana mudahnya untuk kita masuk neraka. Banyaknya amal-amal soleh yang Allah S.W.T janjikan syurga untuk pelakunya:

“Amru bin Tsabit masuk syurga meski belum pernah solat. Semasa Perang Uhud, salah seorang di antara Sahabat bertanya kepada Amru bin Tsabit sebab setahu mereka, Amru belum masuk Islam, “Untuk apa engkau datang? Apa engkau ingin berperang demi kaummu atau ingin masuk Islam?”

“Amru bin Tsabit menjawab, “Kerana kecintaanku kepada Islam. Aku telah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan aku telah masuk Islam. Lalu aku mengambil pedangku, aku maju bersama Rasulullah dan aku berperang hingga aku terkena serangan.”

“Tidak lama kemudian, ia syahid. Lalu Rasulullah S.A.W mendengar kisah Amru. Lalu bersabda, “Sesungguhnya beliau termasuk penghuni syurga.”

“Kemudian ada di antara Sahabat yang berkata Amru bin Tsabit belum sempat melakukan solat. Rasulullah bersabda, “Dia beramal sedikit tetapi diberi pahala banyak oleh Allah S.W.T.”

Hadis lain mengenai amalan-amalan yang memasukkan ke syurga:

“Suatu ketika, selesai solat Subuh, Rasulullah S.A.W pernah bertanya kepada Bilal, ”Wahai Bilal, ceritakan kepadaku mengenai amalan yang paling bermanfaat yang telah kamu lakukan setelah memeluk Islam. Kerana semalam aku mendengar suara langkahmu di depanku di syurga.”

“Bilal menjawab, “Aku tidak pernah melakukan suatu amalan yang paling bermanfaat setelah memeluk
 Islam selain aku selalu berwuduk dengan sempurna pada setiap malam dan siang, kemudian melakukan solat sunnah dengan wuduk itu sebanyak yang Allah S.W.T kehendaki.”

(Hadis Riwayat Abu Hurairah R.A)

Jadi dari dua Hadis di atas, masuk syurga mudah tetapi kita tidak boleh memudah-mudahkan hal itu. Kita tidak boleh membayangkan pelbagai persepsi mengenai kita layak masuk syurga disebabkan kita baik dan macam-macam lagi. 

Saidina Abu Bakar ketika duduk bersendirian selalu memegang lidahnya dan berkata, ‘Inilah nanti yang akan menyebabkan aku hancur dan binasa.’ Sedangkan Abu Bakar telah dijamin Rasulullah S.A.W masuk syurga. Tetapi Abu Bakar tetap takut sebab orang beriman mesti tetap takut dan berharap kepada Allah S.W.T. Abu Bakar takut dimasukkan ke neraka kerana lisannya, walaupun Rasulullah S.A.W sudah memberikan jaminan tempatnya di syurga.

“Rasulullah S.A.W juga bersabda, “Wahai Abu Bakar, kamu adalah orang yang pertama dari umatku yang akan masuk syurga.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Umar al Kattab R.A, pada suatu hari ingin mensolatkan seorang yang meninggal. Lalu kata Huzaifah ibnu Yaman seorang Sahabat yang menyimpan nama-nama orang yang munafik. Kata Huzaifah, ‘Engkau jangan solatkan dia kerana dia termasuk yang yang disebutkan namanya oleh Nabi S.A.W sebagai orang munafik.’ Ketika di kesempatan itu langsung Umar al Kattab memegang Huzaifah al Yaman dan Umar ini adalah seorang yang takut kepada Allah S.W.T, sampai dikatakan ada garis hitam di pipinya kerana beliau sering menangis kepada Allah S.W.T. Dia menanyakan kepada Huzaifah, ‘Adakah Nabi ada menyebut namaku ada di kalangan orang-orang munafik?’ Padahal Umar dijamin masuk syurga oleh Rasulullah S.A.W. Tetapi Umar takut dia terkena sifat orang menafik, Lalu Huzaifah mengatakan, ‘Tidak. Aku tidak akan memberikan kesaksian untuk orang lain kecuali kamu.’ Huzaifah mengatakan, ‘Dia, bila tanya oleh sesiapa selepas ini, tidak akan mengatakan sesuatu mengenai ini.’

Sahabat-sahabat Nabi S.A.W yang Allah S.W.T telah menyebutkan mengenai perjuangan mereka dan Allah S.W.T telah redha kepada mereka tetapi mereka tidak pernah berasa baik atau syok sendiri.

Seorang tabi’in Ibnu Abi Mulaikah mengatakan, ‘Aku telah berjumpa dengan 30 orang Sahabat Nabi S.A.W dan aku telah mempelajari agama dari mereka, semua mereka takut jika termasuk dalam senarai munafik’ Bagaimana dengan kita? Adakah kita juga berasa takut seperti mereka atau apakah kita sudah terasa sudah menjadi ahli syurga?

Pernah tak kita duduk sendirian memuhasabah diri dan bertanya diri kita, adakah aku ini mungkin masuk syurga! Adakah aku mungkin termasuk dalam senarai orang munafik? Apakah aku selama ini ikhlas dalam ibadahku? Apakah aku selama ini berpura-pura sahaja? Apakah aku selama ini menjadi baik dan berjuang kerana aku ada kepentingan peribadi bukan ikhlas kerana Allah S.W.T? Apakah aku belajar untuk mendapatkan status menjadi ulamak atau ahli ilmuan sahaja bukan untuk semakin dekat dengan Allah S.W.T?

Hassan al Basri ada mengatakan, ‘Tidak takut kepada sifat kemunafikan kecuali orang beriman.’ Jadi orang beriman sahaja yang takut kepada sifat kemunafikan di dalam diri. 

Sebahagian daripada ulamak Salaf ada mengatakan, ‘Kalau ada panggilan di hari kiamat nanti semuanya masuk syurga kecuali seorang dan aku merasakan yang seorang itulah aku.’ Dan Imam Assyafie mengatakan, ‘Aku cinta kepada orang-orang soleh walaupun aku tidak termasuk ke dalam golongan mereka. Ya kecintaan aku kepada mereka, mudah-mudahan aku akan mendapat syafaat mereka.’ Siapa kita kalau hendak dibandingkan dengan sosok tokoh terkenal ini, pengarang kitab Usul Fiqh. Adakah kita juga berfikiran seperti beliau?

Muhammad bin Wasi’, seorang tokoh ulamak dan murabbi terbaik pada masa Tabi’in. Beliau adalah murid Sahabat agung Anas bin Malik. Beliau juga Sahabat karib tokoh besar Malik bin Dinar dan Hasan al Bashri. Dia mengatakan, ‘Seandainya dosa itu memiliki bau, nescaya kalian tidak akan mahu mendekati aku, kerana busuknya bauku.’ Dia seorang yang soleh yang terkenal dengan doanya yang mustajab. Dia begitu takut kerana yang ada pada hari kiamat adalah kemaafan dan ampunan Allah S.W.T, kalau tidak dapat bermakna, nerakalah tempat akhirnya.

Muhammad bin Wasi’ telah menulis satu doa agar kita tidak tergoda oleh Iblis:

اَللّٰهُمَّ إِنَّكَ سَلَّطْتَ عَلَيْنَا عَدُوًّا بَصِيْرًا بِعُيُوْبِنَا ، مُطَّلِعًا عَلَى عَوْرَاتِنَا ، يَرَانَا هُوَ وَقَبِيْلُهُ مِنْ حَيْثُ لاَنَرَاهُمْ ، اَللّٰهُمَّ فَأَيِّسْهُ مِنَّا كَمَا اَيَّسْتَهُ مِنْ رَحْمَتِكَ ، وَقَنِّطْهُ مِنَّا كَمَا قَنَّطْتَهُ مِنْ عَفْوِكَ ، وَبَاعِدْ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ جَنَّتِكَ ، إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ يَآ اَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

“Ya Allah, telah Engkau kuasakan kepada kami musuh yang mengetahui aib-aib kami dan melihat aurat kami, dia dan bala tenteranya dapat melihat kami sedangkan kami tidak dapat melihat mereka. Ya Allah, buatlah ia berputus asa dari kami sebagaimana Engkau telah membuatnya berputus asa dari rahmatMu. Buatlah ia berputus asa dari kami sebagaimana Engkau telah membuatnya berputus asa dari ampunanMu. Jauhkanlah ia dari kami sebagaimana Engkau telah menjauhkannya dari syurga, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu, Wahai Yang Maha Pengasih dari semua yang berjiwa kasih,”.

Masya-Allah sekiranya dosa-dosa itu ada baunya, kita tidak mampu berkumpul bersama atau berjumpa orang keliling kita tetapi Allah S.W.T yang Maha Pengasih telah menutupi dosa-dosa kita dan kita mengharapkan agar Allah S.W.T akan mengampunkan dosa-dosa kita dihari akhirat nanti. Aamin.

Imam Bakr bin Abdullah al Muzanni adalah seorang ulamak besar dari kalangan Tabi’in dan beliau juga seorang ahli fiqih dan ahli Hadis. Dia seorang yang melatih dirinya untuk selalu memandang orang lain dengan rasa hormat. Siapa pun yang dia temui, dia akan menganggap mereka lebih mulia dan penting darinya kerana dia benar-benar tahu siapa dirinya dan dia tahu Allah S.W.T telah menyembunyikan aibnya. Dan dia tahu pengetahuannya terhadap orang lain tidak sepenuh yakin tapi kesamaran walaupun rapat dan kenal baik seperti dia kenal dirinya. Sebab itu Imam Bakr pendiriannya, jangan menilai buruk kepada orang lain, kerana ia akan memberikan impak keburukan yang besar sebab kita tidak benar-benar mengenali mereka. Boleh jadi di sebalik sifat kedekut yang kita nampak ada pada dirinya, mungkin di sebaliknya dia seorang dermawan. Boleh jadi juga sifat tamat yang kita nampak ada pada diri seseorang, mungkin dia seorang yang ahli puasa.

Salim bin Abdullah bin Umar bin Khattab adalah seorang ulamak ahli fiqih dan periwayat hadis ternama dari golongan Tabi’in dan menetap di Kota Madinah. Dia cucu Khalifah Umar bin Khattab. Dia juga berkerabat dengan Khalifah Umar bin Abdul Aziz dari sebelah ayahnya. Salim bin Abdullah pandai memanfaatkan kesempatan di ketika perjumpaannya dengan beberapa Sahabat Rasul S.A.W dengan menuntut ilmu di Masjid Nabawi, tempat mereka mengajar perkara-perkara mengenai syariat Islam. Dada Salim dipenuhi dengan Hadis-hadis Rasulullah S.A.W, mendalami mengenai agama Allah S.W.T dan diajari mengenai tafsir.

Semoga Allah S.W.T menjadikan kita seperti Salim, seorang yang pandai membaca peluang dan memanfaatkan kesempatan. Semoga Allah S.W.T meluruskan niat kita memanfaatkan kesempatan tersebut demi memperolehi kebaikan dan supaya terhindar dari keburukan, sebab kita sering bertindak tanpa berfikir panjang, maka akhirnya kita pun menyesal dan kesempatan yang terbuka sebelumnya berlalu begitu sahaja.

Fudhail bin Iyadh pernah berkata, ‘Seseorang yang berbuat amal soleh dan ikhlas namun ibadahnya salah, maka ibadahnya tidak diterima. Jika ibadahnya benar namun tidak ikhlas juga, maka ibadahnya pun ditolak.’

Jadi marilah kita duduk merenung diri, di keadaan macam mana kita? Kita berharap Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan menerima amalan kita tetapi kita tetap takut kepada Allah S.W.T sampai kematian datang.

Umar al-Khattab ketika kematian tiba, ketika dia ditikam di pusatnya, darah mengalir. Ketika dia minum susu, susu itu keluar dari luka tikaman itu dan Sahabat mengatakan, ‘Engkau berilah wasiat. Dia berkata kepada anaknya, ‘Letakkan pipiku ditanah.’ Anaknya berkata, ‘Ya ayahku, apa beza tanah dengan pehaku? Biar kepalamu di pahaku.’ Umar marah kepada anaknya, ‘Letakkan pipiku di bumi, aku mengharap di ketika pipiku di tanah Allah S.W.T akan memberikan rahmat-Nya pada aku dan Allah S.W.T kasihan denganku.’

Masya-Allah hebatnya Umar al Kattab dan imannya sehingga Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah mengalirkan kebenaran melalui lidah dan hati Umar.” 

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Kesimpulannya, Kita tidak tahu nasib kita di sana nanti. Sesungguhnya syurga Allah S.W.T itu mahal. Kita berharap mendapat syurga Allah S.W.T. Dan kita takut api nereka. Kita mohonlah kepada Allah S.W.T supaya menjadikan kita sebagai hamba-Nya yang dapat memasuki syurga-Nya dan menjadikan kita hamba-Nya yang melaksanakan perintah-Nya dan menjauhkan diri dari larangan-Nya.

Juga memohonkan kepada Allah S.W.T diberikan kita ilmu mengenai cara hidup Islam, taufiq dan hidayah-Nya untuk menguatkan iman kita untuk terus beriman dan istiqamah. Ya Allah, Sesungguhnya kami tidak layak ke syurga-Mu namun kami tidak sanggup ke neraka-Mu. Ampunkan dosa-dosa kami dan terimalah amal dan taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa.

Wallahu A’lam.
FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -