Memperingati Hari Nakbah Palestin

- Advertisement -

PALESTIN dan Baitul Maqdis adalah isu umat Islam dan kemanusiaan sejagat. Perjuangan membebaskan bumi suci ini adalah perjuangan yang tiada noktah hentinya.

Perlu ditegaskan bahawa Palestin dan Baitul Maqdis adalah milik Islam yang mampu menunjukkan keadilan terhadap semua. Inilah janji Allah SWT kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa AS, dua orang nabi yang turut menjadi kebanggaan kaum Yahudi.

Ketegasan yang perlu dinyatakan bahawa kumpulan Zionis tidak layak berada di bumi Palestin kerana kezalimannya di luar daripada janji Allah SWT kepada Nabi Ibrahim AS. Bahkan mereka juga menentang kitab Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa AS serta perjuangan mereka bukannya menegakkan Kitab Allah, sebaliknya hanya menegakkan fanatik kebangsaan Yahudi.

Tegaknya negara haram Israel itu pada 15 Mei 1948, adalah hasil pengkhianatan golongan yang menolong musuh dengan menjatuhkan Khilafah Uthmaniyah. Kemudian disusuli dengan Perjanjian Sykes-Picot dan Deklarasi Balfour, membahagikan tanah air kepunyaan umat Islam kepada kalangan yang memusuhi Islam.

- Advertisement -

Zionis merampas tanah suci Palestin, bumi para anbiya’ AS yang wajib dipertahankan oleh umat Islam yang beriman. Ditubuhnya sebuah negara haram Israel dengan cara merompak di siang hari dengan alasan sejarah yang sesat daripada ajaran para Rasul AS, bahkan kaum Yahudi itu membunuh sebahagian para Rasul dan ulama’ yang soleh.

Beberapa hari ini, mereka melakukan serangan ke atas bumi Palestin dengan penuh kekejaman. Tindakan mereka yang bermula sejak akhir Ramadhan ini sangat tidak berperikemanusiaan tatkala mereka menyerang umat Islam yang sedang beribadat di Masjid al-Aqsa.

Umat Islam seluruh dunia harus bangkit untuk mempertahankan tanah suci umat Islam daripada terus dikotori oleh Zionis serta mempertahankan saudara Islam di Palestin daripada terus ditindas dan dizalimi oleh Israel.

Marilah kita mengambil iktibar daripada sabda Rasulullah SAW:

“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ، قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: “بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ، وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ”.

“Sentiasa akan ada sekelompok dari umatku yang akan sentiasa berjuang bersama-sama dengan kebenaran, mencabar dan menentang musuh-musuh mereka. Musuh-musuh mereka tidak akan dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga Allah mendatangkan keputusannya. Mereka tetap dalam keadaan demikian. Maka para sahabat bertanya: “Di manakah mereka?”. Rasulullah menjawab: “Di Baitul Maqdis dan sekitarnya.” (Riwayat Ahmad 22320)

Percayalah bahawa perjuangan rakyat Palestin yang berteraskan iman tidak mungkin dipadamkan. Umat Islam mesti bangkit secara menyeluruh mempertahankan Baitul Maqdis dengan segala pengorbanan. – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -