Kekejaman di Palestin tidak dapat disembunyi

- Advertisement -

ARAU: Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis turut mengecam pembantaian ke atas orang awam yang menjadi tragedi kemanusiaan di Palestin sekarang.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, biar pun kekejaman rejim Israel cuba ditutup media-media antarabangsa, namun penderitaan rakyat Palestin yang selama ini hidup tertindas di tanah air sendiri tidak dapat disembunyikan lagi.

Katanya ratusan nyawa tidak berdosa melayang, manakala infrastruktur termasuk kediaman, sekolah dan bangunan kerajaan mengalami kemusnahan.

- Advertisement -

“Justeru PAS Perlis mengarahkan seluruh Dewan, kawasan dan cawangan PAS di negeri ini untuk menggerakkan kutipan derma jihad bagi membantu rakyat Palestin,” katanya di sini.

Sumbangan hendaklah disalur kepada Tabung Kemanusiaan Palestin PAS Perlis di akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) – 09010010047614 atas nama PAS Perhubungan Negeri Perlis.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, semua sumbangan terkumpul nanti akan diserah kepada Sekretariat Aid4Palestine.

Menurutnya juga PAS Perlis berharap seluruh umat Islam supaya terus-menerus berdoa agar kesengsaraan rakyat Palestin segera berakhir.

Sementara itu, Dewan Muslimat PAS Perlis turut menyasarkan kutipan minimum RM5,000 untuk disumbangkan kepada penduduk Palestin.

Menurut ketuanya Ustazah Latipah Mat, jumlah kutipan yang terkumpul akan diserahkan kepada Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM).

“Sebagai tanda solidariti DMPM kepada rakyat Palestin, DMPM berhasrat untuk menyumbangkan RM100,000 yang akan disalurkan melalui PAS Relief.

“Justeru, saya dengan rasa rendah hati merayu semua umat Islam khasnya di Perlis untuk sama-sama menyumbang kepada tabung Derma Jihad Palestin DMPNPs,” katanya.

Mereka yang ingin menyalur sumbangan kewangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Muamalat Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis – 09010017574728 dan maklum kepada Bendahari DMPNPs di talian 017-5697262 untuk tujuan rekod.

Latipah turut menyeru umat Islam supaya memperbanyak doa kepada Allah agar diberikan kemenangan kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Mudah-mudahan sumbangan doa dan wang ringgit yang kita berikan diterima sebagai amal ibadah di sisi Allah di samping menjadi bukti sokongan kita kepada perjuangan mereka di sana (Palestin),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -