Covid-19: Keadaan sebenar dalam wad ICU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkongsi foto daripada petugas barisan hadapan (frontliners) yang berada di perbatasan hadapan negara melawan virus maut, Covid-19 mengenai suasana wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Inilah keadaan sebenar dalam wad ICU pada ketika ini. Semua katil yang ada di hospital hampir penuh dan mencapai kapasiti maksimum,” ujar KKM dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya malam tadi.

Kes pandemik Covid-19 semalam telah merekodkan 34 kematian di seluruh negara sementara 482 pesakit sedang dirawat di UCU dengan 250 kes memerlukan bantuan pernafasan.

- Advertisement -

Menerusi hantaran itu, gambar dari Hospital Kajang menunjukkan kesemua katil yang berada di hospital itu sudah pun penuh.

Begitu juga di Hospital Ampang, Selayang, Sungai Buloh dan hospital-hospital Covid-19 yang lain yang mana keadaan sudah sesak.

“Pun begitu, sistem kesihatan di negara kita belum lagi sampai ke tahap perlu memilih siapa yang perlu berada di atas katil ICU untuk dirawat,” ujarnya.

Menurutnya, frontliners yang merawat pesakit pun tidak ke mana-mana, mereka tetap ada di wad ICU untuk merawat pesakit yang kritikal.

Tambahnya, demi menyelamatkan nyawa, semua frontliners meneruskan tugas harian mereka seperti biasa pada ketika hari raya pertama dan kedua Aidilfitri ini.

“Cuma satu sahaja yang dipinta daripada seluruh rakyat Malaysia, patuhlah pada peraturan yang telah ditetapkan.

“Jaga diri, jaga keluarga kita. Jangan biarkan keluarga kita menjadi salah seorang yang berada di wad ICU ini.

“Sayangilah mereka, putuskan rantaian Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -