Pusat bandar Kota Bharu lengang 2 Syawal

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pusat Bandar Kota Bharu dan beberapa pekan di pinggir bandar berkenaan kelihatan lengang di mana kenderaan seperti boleh dibilang dengan jari hari ini.

Rakyat Kelantan mengambil pendekatan berada di rumah tanpa berkunjung dari rumah ke rumah sebagaimana lazimnya pada sambutan Aidilfitri.

Sedangkan sebelum ini 2 Syawal pusat bandar Kota Bharu dan bandar-bandar lain di Kelantan sesak teruk dengan limpahan kenderaan di setiap jalan.

- Advertisement -

Fenomena itu dianggap sebagai kepatuhan orang ramai bagi mengikut arahan kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19 yang masih mencatat angka tinggi sama ada di peringkat negeri atau negara.

Kerajaan sebelum ini melarang aktiviti ziarah menziarahi pada sambutan hari raya sebagai usaha bagi menghalang penularan wabak.

Bagaimanapun tinjauan Harakahdaily mendapati banyak premis perniagaan di Kota Baru dan Tumpat telah dibuka kepada orang ramai bagi membeli keperluan harian.

Sebahagian peniaga mula mencari rezeki hari ini walaupun jumlah pelanggan yang datang masih lagi kurang.

Semalam, Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat merakam ucapan tahniah kepada rakyat negeri itu kerana dilihat patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila kenderaan di jalan raya berkurangan.

Pada sidang medianya Shafien juga memberitahu sebanyak 145 kenderaan diarah berpatah balik di mana mereka cuba memasuki negeri ini melalui tiga sempadan.

Menurutnya, rekod itu dicatat sehari sebelum menjelang Hari Raya Aidifitri melalui sempadan negeri di jajahan Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli.

“Mereka hanya mencuba nasib dan mungkin juga beranggapan bila semakin dekat dengan Aidilfitri anggota polis tidak begitu tegas. Tetapi kita tetap menjalankan tugas sebagaimana biasa,” ujarnya.

Tambahnya ada kenderaan berpatah balik apabila tersempak dengan anggota polis atau Sekatan Jalan Raya (SJR). – HARAKAHDAILY 14/5/2021

- Advertisement -