Pengalaman beraya di wad angkara Covid-19

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang kakitangan Pusat Kajian Strategik (PKS) negeri Kelantan, Abu Khalifah Mohamed Salleh, 54, menimba pengalaman pertama berhari raya di katil hospital angkara Covid-19.

Beliau disahkan positif Covid pada malam Syawal selepas dimaklumkan oleh petugas Pusat Kesihatan Daerah Kota Bharu.

Sebelum itu pada Selasa beliau menjalani ‘swab test’ di Klinik Kesihatan Kubang Kerian selepas mengalami demam panas pada Isnin.

Malah petang semalam ambulans mengambilnya di rumah beliau di Wakaf Stan Kubang Kerian dan ketika perjalanan ke Hospital Tumpat di Kelaboran pemandu ambulan turut mengambil dua lagi pesakit positif Covid di Kampung Kota.

- Advertisement -

Menurutnya juga Pusat Kesihatan beberapa kali menefon bagi menangguh datang menjemputnya kerana kekurangan ambulan kemungkinan disebabkan jumlah pesakit baru begitu ramai.

Manakala ibu dan isterinya hari ini turut menjalani ujian saringan Covid di Pusat Saringan di Madinah Ramadan Kota Bharu.

Ikuti catatan ringkas Abu Khalipah (Chan Manzil) yang juga wartawan sambilan Harakah dari katil hospital.

10.05.2021/ 28 Ramadan 1442H

Diriku demam, maka pergi ke Klinik Kesihatan Kubang Kerian berjumpa doktor untuk rawatan dan diberikan Cuti Sakit (MC) satu hari.

11/05/2021/ 29 Ramadan 1422H

Masih lagi demam panas, terus ke Klinik Kesihatan Kubang Kerian, hasrat awalnya ingin menyambung cuti sakit namun doktor memaklumkan pada jam 11 pagi perlu dilakukan ujian saringan atau swab test.

Setelah selesai Swab Test maka diriku dipakaikan gelang hijau memandangkan kehabisan stok gelang pink. Keputusan akan diketahui dalam masa 3 hari untuk swab test tersebut bermula dari hari ini (11 – 13 Mei).

12.05.2021/ 30 Ramadan 1442H

Masih lagi demam panas, sekejap ok sekejap demam atau lebih tepat dikatakan on off situasi diri.

8:00 malam

Aku mendapat panggilan daripada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu bahawa diriku positif Covid-19 hasil daripada swab test dan ambulan akan datang ke rumah, pihak PKD Kota Bharu meminta tag maps lokasi.

Katanya aku perlu dimasukkan ke hospital pada malam ini juga dan akan dimaklumkan semula segala perkembangan terkini, maka isteriku tercinta berkemas menyiapkan segala keperluan diri yang sepatutnya seperti pakaian dan seumpamanya di dalam sebuah beg.

9:00 malam:

Aku telah dihubungi lagi oleh PKD Kota Bharu mengatakan bahawa ambulan tidak dapat datang malam ini dan akan datang pada keesokan paginya. Apa pun segala perkembangan terkini akan dimaklumkan kemudian.

9:05 malam:

Aku telah menghubungi Ketua Jabatan iaitu Pengarah PKS Dr Wan Nik Wan Yussof.

10:02 malam:

Tuan Pengarah PKS menghubungi daku dan aku terus memaklumkan kepadanya situasi terkini diriku. Beliau amat memahami dan mendoakan keafiatan kesihatan diri bahkan sempat pula mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

13.05.21/ 01 Syawal

7:00 pagi

Segala kelengkapan diri telah tersedia dalam sebuah beg, masih menunggu kedatangan ambulans.

11:00 pagi:

Aku dihubungi pihak ambulan yang mengatakan kemungkinan berlaku kelewatan untuk datang mengambil diriku memandang banyak lagi lokasi yang perlu beliau uruskan, namun begitu segala perkembangan terkini akan dimaklumkan kemudian.

2:15 petang:

Pihak ambulans telah menghubungi diriku bertanyakan lokasi rumah.

2:20 petang:

Ambulans sampai dengan 2 orang petugas dari PKD Kota Bharu di hadapan rumahku dan akan membawa diriku ke Hospital Kelaboran Tumpat.

2:30 petang

Aku dimaklumkan oleh petugas berkenaan, dalam perjalanan ke Hospital Kelaboran Tumpat mereka akan mengambil 2 orang lagi pesakit positif Covid-19 di Kota, Kota Bharu.

3:00 petang:

Menjemput dua orang pesakit di kediamannya di Kota, Kota Bharu iaitu 2 orang perempuan seorang nenek dan seorang cucunya.

3:30 petang:

Kami telah sampai di Hospital Kelaboran Tumpat di mana aku ditempatkan di Wad 6, manakala wanita pula ditempatkan ke Wad 3.

3:45 petang:

Bermulalah episod hidupku yang menjadi sejarah seumur hidup di mana aku berhari raya Aidilfitri di hospital.

Menunaikan kewajipan solat Zohor di dalam wad.

Di dalam wad aku mula berkenalan dengan 4 pesakit, 2 orang difahamkan akan ‘discas’ petang ini juga, seorang kritikal kerana implikasi strok manakala seorang lagi ada kuman dalam darah.

Kami dilayan dengan penuh mesra oleh jururawat yang bertugas dan aku dimaklumkan hanya ruang dalam wad ini sahaja bebas bergerak lebih kurang 50 meter antara pintu ke pintu sahaja.

4:30 petang:

Menerima kemasukan seorang lagi pesakit dari Kampung Tok Selehor, Tumpat dan kini penghuni di sini seramai 4 orang termasuk diriku.

5:00 petang:

Solat Asar dalam wad ini, kemudahan disediakan tikar solat.

11:30 malam:

Doktor datang mengambil darah untuk diuji kaji. Layanan doktor pun begitu mesra dan penuh sopan.

12:30 malam:

2 orang jururawat datang membawa peralatan x-ray untuk aku dan seorang lagi pesakit dari Kg Tok Selehor, Tumpat dilakukan x-ray.

12:35 malam:

Pengambilan x-ray diri selesai, maka rehat aku namun tidak berapa selesa memandangkan saat ini aku masih lagi demam panas dan sejuk di kaki.

12:45 malam:

Keheningan malam dipecahkan dengan suara laungan yang agak kuat oleh pesakit strok yang sentiasa menganggu penghuni di sini dan membuatkan diri sukar terlelap.

Namun begitu tidak tahu masa mana akhirnya diriku terlelap jua.

14.05.21/ 02 Syawal 1442H

6:00 pagi:

Terjaga dari tidur pergi ke bilik air dan menunaikan kewajipan solat Subuh di wad.

6:30 pagi:

Alhamdulillah diriku yang demam panas beransur pulih.

8:30 pagi:

Jururawat datang mengambil bacaan gula dalam darah, Alhamdulillah bacaan diriku 6.1 dan menurut jururawat dikira baik.

9:55 pagi:

Jururawat memberikan ubat kepadaku dengan 12 biji ubat dan sebiji ubat gastrik yang perlu aku telan sekali gus.

10:30 pagi:

Isteriku tercinta dan bondaku (Mek) pergi ke Madinah Ramadan di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV untuk dilakukan swab test memandangkan mereka adalah kontak rapat denganku. – HARAKAHDAILY 14/5/2021

- Advertisement -