PAS Kedah lancar derma jihad bantu Palestin

ALOR SETAR: PAS Kedah melancar kutipan derma jihad untuk membantu kesengsaraan umat Islam di Palestin yang kini menghadapi pembataian oleh rejim haram Israel.

Advertisement

Pesuruhjayanya Senator Ahmad Yahaya berkata, kempen Derma Jihad Palestin itu melibatkan semua PAS kawasan di Kedah dan dewan-dewan peringkat negeri.

“Derita umat Islam Palestin tidak harus dibiarkan berlarutan. Sehubungan itu, Derma Jihad Palestin yang dilancarkan ini untuk membantu saudara kita di sana yang sangat memerlukan pertolongan ketika ini,” ujar beliau pada satu kenyataan hari ini.

Jumaat lepas tentera rejim Israel melancarkan serangan terhadap umat Islam ketika mereka menunaikan solat di masjid Al-Aqsa.

Kejadian itu berikutan pada setiap Jumaat terakhir di bulan Ramadan, umat Islam Palestin berkumpul di Masjid Al-Aqsa (Intifadah) memperingati peristiwa berdarah kekejaman regim laknatullah terbabit.

Walau bagaimanapun kerakusan rejim haram Israel itu menerima serangan balas dari tentera Al-Qasam sehingga mereka menjadi kucar kacir di mana banyak nyawa dan harta benda musnah.

Sayap tentera Hamas membalas dengan menembak peluru berpandu bertalu talu ke negara haram Israel yang sama sekali tidak dijangka zionis.

Ahmad berkata, kesengsaraan umat Islam di Palestin tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, di mana melibatkan ratusan nyawa tidak berdosa melayang selain sekolah, bangunan kerajaan dan tempat kediaman menjadi sasaran zionis.

Justeru itu beliau mengajak orang ramai bagi membantu umat Islam di Palestin. Sumbangan boleh disalur melalui akaun Tabung Bencana PAS Kedah – 552170001133 (Maybank).

“Semua sumbangan terkumpul akan diserah kepada Aid4palestin. Semoga usaha murni kita yang sedikit ini, mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Marilah kita mendoakan agar kesengsaraan rakyat Palestin segera berakhir,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 14/5/2021