Palestin: Jauh di mata, dekat di hati

- Advertisement -

SAYA mula mendekati isu Palestin sekitar tahun 1980-an, ketika berumur akhir belasan tahun. Pimpinan PAS banyak berceramah, membuat pelbagai aktiviti sehingga isu Palestin menjadi makin dekat di hati. Akhir tahun 1980-an hingga awal 1990-an, tak banyak isu Palestin yang sempat diikuti kerana fokus ‘mengaji kitab’ di pondok.

Ketika berada di Jordan mulai 1992-1999, tentunya isu Palestin sangat hampir. Rasanya lebih 90 peratus penduduk Jordan berasal dari pelbagai daerah di Palestin. Dialek Jordan tidak jauh dari dialek Palestin. Di Universiti Yarmouk, Irbid, tempat saya belajar, ada sahaja aktiviti berkaitan Palestin yang dibuat pameran sejarah Palestin, Minggu Palestin, demonstrasi pelajar menyokong Palestin ketika ada isu-isu tertentu berlaku dan lain-lain. Dalam satu pameran buku mengenai Palestin, saya membeli sebuah buku bertajuk: ليس لليهود حق في فلسطين

- Advertisement -

‘Yahudi tiada hak di Palestin’. Penulisnya menyebut pelbagai dalil yang menunjukkan Palestin adalah milik umat Islam, bukannya untuk Yahudi yang telah dicabut keistimewaan itu oleh Allah daripada mereka dan diberi kepada umat Islam.

Ketika belajar hadis akhir zaman dengan almarhum Dr Walid al-Aani, pensyarah hadis dari Iraq, banyak juga hadis yang menyebut tentang bumi Palestin dan rakyat Palestin. Yang biasa kita dengar, antara kandungannya: ‘Sentiasa ada golongan umat Nabi yang menegakkan kebenaran. Mereka berada di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis’ ‘Dajjal akan dibunuh di Bait Lud, satu kampung di Palestin’.

‘Orang Islam akan membunuh Yahudi sehingga mereka berlindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok berkata: Wahai Muslim! Di belakang ku ada Yahudi, mari bunuh mereka.’

Mengenai hadis ini, saya teringat pendapat guru saya, almarhum Dr Nuh Ali Salman al-Qudha: “Ini menunjukkan orang Palestin ketika itu sebenarnya adalah wali Allah, hingga kayu dan batu bercakap kepada mereka”. Wallahu A’lam.

Seorang sarjana Islam berasal dari Palestin, menjadi pensyarah bidang Al-Quran di Jordan, yang buta matanya, Dr Fadl Hasan Abas pernah menyebut dalam satu ceramahnya mengenai peristiwa Isra’ Mikraj: ‘Tentera rejim Zionis sebenarnya penakut dan pengecut. Mereka adalah anak-anak muda yang lebih sukakan hiburan, rehat, tetapi oleh kerana undang-undang rejim Zionis yang mewajibkan mereka menyertai tentera, maka mereka terpaksa menyertainya juga’.

nik nasri
NIK MUHAMMAD NASRI

Bumi Quds, Palestin adalah ‘al-Ardus Sakhin’ ‘Bumi yang sentiasa panas’. Isunya tak pernah padam. Pergolakannya tak pernah diam. Krisisnya tak pernah terpendam. Sebagai umat Islam, terutama kepada anak-anak muda, saya ingatkan anda agar menjadikan isu Palestin, Quds ini sentiasa segar dalam diri kerana ia adalah hak umat Islam, berkaitan harga diri umat Islam. Biarpun jauh di mata, tetapi dekat di hati. – HARAKAHDAILY 14/5/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -