Manfaat media sosial beri tekanan rejim Zionis

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah menyaran rakyat Malaysia menggunakan apa juga kemahiran termasuk media sosial untuk memberi tekanan ke atas rejim zionis Israel.

Katanya, kaedah itu sebagai ‘serangan’ untuk melemahkan keangkuhan zionis Yahudi yang berterusan menindas umat Islam di Palestin.

“Usaha itu diharap mampu memberikan berita gembira kepada umat Islam di saat mereka diuji sedemikian rupa,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Pada akhir Ramadan lepas tentera zionis menceroboh al Quds ketika umat Islam sedang beribadat. Berikutan itu sayap tentera Hamas bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru jarak jauh ke atas pendudukan Israel.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan mengingatkan umat Islam di negara ini yang bergembira menyambut 1 Syawal, tidak lupa kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Menurutnya, umat Islam di Palestin terus dihujani serangan udara oleh pesawat pejuang dan dron rejim haram zionis.

“Kita bergembira menyambut Syawal dengan hilai tawa, tetapi umat Islam di Palestin diserang dengan letupan ‘bunga api’ sepanjang malam,” ujarnya.

Katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran, memandangkan ketegangan di Palestin telah meragut hampir 100 nyawa dengan 600 kecederaan.

Bagaimanapun beliau menjangka ia bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.

“Saya menyambut baik kenyataan Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk menubuhkan sebuah Sekretariat #Aid4Palestine.

“Saya juga menyokong kenyataan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob bagi menyatakan solidariti Kerajaan Kelantan buat umat Islam di bumi Palestin,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyaran umat Islam negara ini berdoa dan munajat kepada Allah SWT supaya keangkuhan Yahudi Zionis dihancurkan. – HARAKAHDAILY 14/5/2021