Ulama sambut baik ketat SOP kekang Covid-19

Dato' Hassan Mohamood
- Advertisement -

KOTA BHARU: Bermula hari ini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mula dilaksanakan di negara ini susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dengan jumlah harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif.

Lantas kerajaan memutuskan untuk melakukan langkah-langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak berkenaan yang kini sudah berada dalam komuniti.

Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Dato’ Hassan Mohamood berkata, pihaknya menyambut baik prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) berkaitan solat berjemaah.

Bagaimanapun katanya ada pihak yang bertindak menongkah arus dan tidak mahu mematuhi SOP dalam pelaksanaan PKP 3.0 kerana menganggap di kawasannya tidak mempunyai individu positif wabak tersebut.

- Advertisement -

“Maknanya kita dalam jemaah apa yang diputus oleh parti mahu pun kerajaan, walaupun kita ada pandangan sendiri, kalau kita tunjuk khilaf atau pun ketidakpuasan hati benda itu tidak molek.

“Ketidakpuasan hati diakui wujud di kampung-kampung yang banyak meluahkan perasaan, mereka kata tempat kita tiada seorang yang kena Covid-19 jadi sembahyang boleh buat rapat-rapat,” katanya.

Maik sebelum ini membenarkan solat sunat tarawih, fardu dan Jumaat di masjid bandar, negeri dan jajahan sehingga 70 peratus berdasar kapasiti masjid. Namun sekarang diperketatkan lagi.

Hassan yang juga Adun Tawang berharap Ketua Urusan Dewan Ulama kawasan akur dan patuh kepada arahan kerajaan kerana menyifatkan langkah tersebut merupakan sebahagian ijtihad bagi menjaga kemaslahatan rakyat.

“Kita kena patuh dan taat kepada pemerintah kerana ini sebahagian ijtihad kerana ijtihad ini kalau betul dapat dua pahala, kalau salah sekalipun satu pahala, tiada kata dosa sekali pun.

“Oleh itu kita harap semua ketua urusan ulama di kawasan-kawasan, mesti mempertahankan keputusan yang dibuat oleh kerajaan dan Maik berhubungan masalah Covid-19, kita jangan pandang mudah masalah ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Beliau juga berkata, pimpinan ulama peringkat kawasan dan Pengelola Halaqat boleh merujuk kenyataan Mufti Kelantan, Dato’ Mohamad Syukri Mohamad seperti disiarkan video terbitan Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri.

Menurutnya, ia susulan persoalan yang dibangkitkan netizen mengenai masalah masjid ditutup sebaliknya pasaraya terus dibuka walalupun negara dan negeri berhadapan dengan peningkatan wabak Covid-19 setiap hari.

“Bagi ambo, ia sedikit sebanyak memberi penjelasan serta mematangkan pemikiran kita mengenai persoalan-persoalan dalam agama,” ujarnya.

“Sebab itu arwah Tuan Guru Nik Aziz amat mementingkan soal makan minum rakyat kerana hak manusia dibina di atas kesusahan dan kesempitan hidup kalau pasar raya ditutup rakyat susah,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/5/2021

- Advertisement -